Mohd Fadzli
Mohd Fadzli

Majlis tersebut akan diadakan secara serentak dengan Anugerah Kecemerlangan Perniagaan Selangor yang telah tiga tahun dianjurkan DPMM, dalam usaha badan itu mengangkat golongan usahawan khususnya bumiputera, agar kejayaan mereka diperakukan pihak-pihak berkaitan.

Yang Dipertua DPMM Selangor, Mohd. Fadzli Mustafa berkata, pihak­nya meminta syarikat serta tokoh korporat tempatan agar segera mendaftarkan pencalonan ma­sing-masing untuk dinilai jawatankuasa juri dan beliau menjangkakan lebih 100 pemain industri akan terlibat.

“Kali ini kita perkenalkan Anu­gerah Perniagaan Antarabangsa Malaysia sebagai platform untuk kita mengiktiraf tokoh serta pemain industri tempatan khusus­nya dalam kalangan bumiputera yang telah menembusi pasaran antarabangsa, kerana ia bukan satu usaha yang mudah untuk berbuat demikian.

“Pencalonan boleh di­buat mulai hari ini dan tempoh pencalonan di­bu­ka selama sebulan. Pe­main industri boleh mendaftarkan pencalonan mereka di laman web kita,” katanya dalam sidang akhbar selepas majlis pelancaran anugerah terbabit di sini kelmarin.

Majlis pelancaran itu disempurnakan Pengarah Komunikasi Kementerian Kewangan, Datuk Lokman Adam.

Mengulas lanjut, Mohd. Fadz­li berkata, sebanyak 12 kategori akan dipertandingkan pada tahun ini dengan industri fesyen merupakan kategori baharu yang diperkenalkan, selain masih me­ngekalkan kategori keusahawanan artis sebagai salah satu tarikan utama anugerah tersebut.

Selain daripada kategori tersebut jelasnya, antara kategori lain yang dipertandingkan ialah pembuatan, perkhidmatan, hospitaliti industri dan segmen eksport.

“DPMM percaya melalui pengiktirafan ini, ia bukan sahaja akan merintis jalan yang lebih meluas kepada para pemain perniagaan tempatan tetapi ia juga merupakan satu batu lonjatan untuk terus menampilkan kecemerlangan masing-masing dalam apa juga segmen perniagaan yang diceburi,” katanya.