Bagi memastikan dodol itu mempunyai rasa asli, Samsudin yang mewarisi resipi makanan tradisional masyarakat Melayu itu daripada keluarga mengekalkan kaedah manual dalam penghasilannya. Ini termasuk menggunakan kayu sebagai sumber api.

Samsudin bersama isterinya, Salina Sapian, 39, sentiasa memastikan dodol yang dimasak menggunakan gula kabung tradisional itu disediakan mengikut resipi turun temurun, selain dimasak secara tradisional tanpa menggunakan mesin.

“Bagi saya, kualiti adalah penting. Sebab itulah, saya memastikan kuantiti gula kabung tidak dikurangkan. Untuk satu kilogram beras pulut, saya guna empat 
hingga lima bungkus gula kabung.

“Saya juga menggunakan kayu api daripada pokok mata kucing yang mempunyai bara tahan lama bagi memastikan rasa dodol sentiasa terbaik, sekali gus memberi kepuasan kepada pelanggan,” katanya ketika ditemui S2.

Menurut Samsudin, selain tempahan terus daripada pelanggan tetap, dodol yang dihasilkan itu turut dipasarkan menerusi media sosial, khususnya Facebook dan aplikasi WhatsApp.

Dengan penggunaan media sosial, katanya, beliau boleh memasarkan dodol itu ke seluruh negara secara dalam talian.

Biasanya beliau akan memasak dodol mengikut tempahan yang diterima setiap hari. Harga satu kilogram dodol adalah RM40.

“Dodol yang siap dimasak juga akan dibungkus di dalam pek seberat 250 gram. Harga jual bagi pek itu adalah RM10.

“Selain itu, saya juga menyediakan dodol bagi tempahan hantaran perkahwinan.

“Pada masa ini, saya menerima tempahan berterusan dari seluruh negara termasuk dari Sabah. Setiap kali sambutan hari raya, pastinya tempahan meningkat. Ada juga individu yang menempah dodol 
untuk majlis-majlis tertentu,” ujarnya.

Samsudin memberitahu, antara cabaran dalam proses membuat dodol adalah perlu menunggu dan mengacaunya secara berterusan selama berjam-jam.

Di samping itu, katanya, dia juga sentiasa memastikan stok kayu api daripada pokok mata kucing sentiasa mencukupi.

“Apabila proses memasak dimulakan, saya perlu memberikan perhatian untuk mengacau dodol secara berterusan selama kira-kira tiga jam bagi sekilogram dodol. Ia untuk memastikannya dimasak dengan betul.

“Kayu api pula hendaklah mencukupi dan api yang sesuai penting bagi memastikan dodol tidak hangit,” tambahnya.

Mereka yang berminat menempah dodol tradisional yang dimasak menggunakan kayu api ini bolehlah menghubungi Samsudin di talian 017-3464863.