Presidennya, Tan Sri Mohd. Ali Rustam berkata, permintaan itu dibuat kerana negara yang 99 peratus penduduknya beragama Islam itu belum mempunyai kemudahan atau resort pelancongan yang berkonsep Islamik dan peluang itu seharusnya digunakan oleh pelabur dari negara ini.

“DMDI ada menerima permintaan dari Maldives untuk menarik pelabur pelancongan Islam bagi membina hotel dan resort berkonsepkan Islam di negara itu dan untuk itu sekiranya ada mana-mana pihak yang ingin melabur di sana amat kita alu-alukan.

“Wakil DMDI di Maldives merupakan seorang individu yang terlibat dalam kementerian kewangan di negara tersebut dan beliau memaklumkan bersedia membantu DMDI untuk memulakan pelaburan di negara mereka,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas majlis penutup Konvensyen DMDI kali ke-17 yang disempurnakan oleh Timbalan Menteri Pelancongan dan Kebudayaan, Datuk Mas Ermieyati Samsudin di sini hari ini.

Konvensyen DMDI selama dua hari itu dirasmikan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. ­Ahmad Zahid Hamidi dan menarik penyertaan 909 orang peserta dari 19 buah negara yang berhimpun membincangkan mengenai hala tuju masyarakat Melayu dan agama Islam serantau.

Pada majlis itu, Mohd. Ali memaklumkan DMDI memutuskan sebanyak 21 resolusi umum antaranya akan memartabatkan penggunaan bahasa Melayu dalam kalangan negara peserta dan menubuhkan laman web KampungBiz.com yang merupakan salah satu usaha mempromosikan semua produk masyarakat Melayu dan Islam di negara ini yang berkonsepkan e-perniagaan.

Mengulas lanjut, Mohd. Ali berkata, sebagai negara pelancongan yang menerima satu juta pelancong setiap tahun, Maldives belum melaksanakan konsep pelancongan Islam malah mereka bersedia untuk menyediakan sebuah pulau bagi dimajukan untuk tujuan itu.

“Selain Maldives, DMDI juga sedang mencari rakan kongsi dari negara China yang telah menyatakan minat untuk melabur dalam pelancongan syariah, dan kita percaya Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan akan dapat mencari rakan baharu untuk bersama berkongsi dengan DMDI dalam mempromosikan pelancongan Islam,” katanya.