Pernahkah anda dengar tentang SEBENARNYA.MY

Logo Kaji Selidik Pembaca

Pernahkah anda dengar tentang SEBENARNYA.MY ?

Pernahkah anda dengar tentang SEBENARNYA.MY ?




Sila respon kepada soalan di atas untuk menutup skrin ini

Show result

Di mana ada kemahuan di situ ada jalan

MOHD. NAZIM bersama dua orang kanannya menunjukkan produk keluaran syarikatnya di Wisma 4Flex di Sha
MOHD. NAZIM bersama dua orang kanannya menunjukkan produk keluaran syarikatnya di Wisma 4Flex di Shah Alam.

MELIHAT penglibatan 4flex Racing Management Sdn. Bhd. (4flex) dalam sukan permotoran tempatan, pasti ramai menyangka pemilik syarikat yang baru berusia tiga tahun itu berasal daripada keluarga berada sehingga mampu mempunyai pasukan perlumbaan sendiri dan menaja ramai pelumba.

Namun, hakikatnya, pengasas yang juga Pengarah Urusan 4flex, Mohd. Nazim Saparuddin berasal daripada keluarga sederhana sahaja. Bapanya mempunyai sebuah lori satu tan dan mengambil upah mengangkut barang di Klang, Selangor.

Anak kelahiran Banting, Selangor berusia 46 tahun itu juga cuma mempunyai pendidikan setakat Sijil Rendah Pelajaran (SRP) atau kini dikenali sebagai Pentaksiran Tingkatan Tiga (PT3). Tapi itu tidak menjadi penghalang bagi beliau untuk berjaya. Sebagai seorang ahli perniagaan, beliau juga pernah mengalami zaman kejatuhan.

“Yang bulat tidak datang bergolek, yang pipih tidak datang melayang. Yang penting kita mesti ada kemahuan dan berusaha bersungguh-sungguh,” katanya ketika ditemui di Wisma 4flex di Shah Alam baru-baru ini.

Mahu jadi jaguh badminton

Menceritakan perjalanan hidupnya, Mohd. Nazim yang merupakan anak ketiga daripada tujuh beradik memberitahu, selepas tamat tingkatan tiga, beliau tercari-cari hala tuju dalam hidupnya.

Beliau pernah pergi belajar bermain badminton dengan keluarga Sidek yang mempunyai hubungan kekeluargaan dengannya di Banting.

Harapannya, jika berjaya dalam sukan, beliau akan mendapat pekerjaan bagus di syarikat perbankan seperti beberapa orang bapa saudaranya. Namun, bukan rezekinya dalam sukan badminton. Mungkin beliau tidak cukup hebat untuk pergi jauh dalam sukan tersebut.

“Selepas itu, saya pun pulang ke rumah ibu bapa saya di Klang. Saya kemudian bekerja dengan enam buah syarikat sebagai penjaga stor. Tetapi saya tidak nampak masa depan yang cerah jika terus bekerja sebagai penjaga stor.

“Saya berhenti kerja dan bekerja dengan ayah sebagai pemandu lori. Tidak lama kemudian, ayah menyerahkan perniagaan pengangkutan itu kepada saya kerana faktor usia,” katanya.

Menurut Mohd. Nazim, syarikat pengangkutan itu semakin maju apabila banyak mendapat kerja menghantar barang terutama daripada Sapura Industrial Berhad. Beliau kemudian berjaya memajukan syarikat pengangkutan itu sehingga mampu membeli tiga buah lori tiga tan dan mempunyai pekerja sendiri.

Namun, ibarat kata pepatah ‘ku sangkakan panas hingga ke petang, rupanya hujan di tengah hari’, Mohd. Nazim sekali lagi diuji. Kegawatan ekonomi yang melanda pada waktu itu menyebabkan beliau terpaksa menjual dua buah lorinya dan memberhentikan semua pekerjanya.

Jadi pengedar 
komponen kereta

“Bagi menjimatkan kos operasi, saya memandu sendiri lori untuk menghantar barangan. Kemudian, saya ditawarkan menjadi pengedar produk spring dan penyerap hentakan keluaran sebuah syarikat tempatan. Bermodalkan hasil jualan lori, saya pun mula menceburi perniagaan barangan kereta ini,” katanya.

Semasa terlibat dalam perniagaan itu, Mohd. Nazim banyak melakukan kajian sendiri bagi menyelesaikan masalah yang dihadapi pelanggannya dan dari situlah timbul idea untuk beliau mengeluarkan produknya sendiri.

“Saya dapati kebanyakan pengguna spring rendah kereta yang ada di pasaran akan mengalami masalah sama, iaitu tayar terkena pada badan kereta. Di situ, saya nampak ada peluang dan ruang yang boleh dimanfaatkan jika saya boleh mengeluarkan spring yang boleh menyelesaikan masalah tersebut,” ujarnya.

Pada awal Mac 2014, dengan bermodalkan RM30,000, Mohd. Nazim menubuhkan syarikat 4flex dan mengeluarkan spring rendah dengan spesifikasi sendiri. Pada peringkat permulaan, 4flex hanya menjual spring rendah untuk kenderaan keluaran Perodua sebelum diperluaskan kepada kereta model lain seperti Proton, Honda dan Toyota.

Spring keluaran 4flex kini sangat popular dalam kalangan peminat modifikasi kenderaan dan telah mempunyai lebih 53,000 orang pengguna. Syarikat tersebut juga bakal memasarkan produk penyerap hentakan dan minyak pelincir sendiri dalam masa terdekat.

“Insya-Allah, dalam tempoh lima tahun, kami mahu memiliki kilang pengeluaran sendiri. Kami sedar akan risiko jika bergantung kepada orang lain untuk mengeluarkan produk kami,” tambahnya.

Walaupun 4flex boleh dikatakan berjaya kerana berkembang dengan pesat dalam tempoh singkat, namun bagi Mohd. Nazim, syarikat itu baru bermula dan perjalanannya masih panjang.

“Kami mempunyai banyak perancangan bagi memeriahkan kembali arena permotoran tempatan yang semakin lesu. Antaranya, kami dalam proses membeli sebidang tanah di Selangor untuk dibangunkan sebagai hab permotoran termasuk sebuah litar perlumbaan,” ujarnya.

Artikel Berkaitan
Video Pilihan
Artikel Lain