Menterinya, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, langkah tersebut susulan keyakinannya terhadap model perniagaan dan perkhidmatan bergerak yang dianggap mampu mengubah landskap sektor keusahawanan berskala kecil di negara ini pada masa depan.

Katanya, program mobilepreneur yang telah dilaksanakan tahun ini menawarkan 12 bidang perkhidmatan iaitu perkhidmatan membaiki alat pendingin dingin, pendawaian elektrik, elektronik, spa dan kecantikan, makanan dan minuman, kek dan pastri, penyelenggaraan motosikal, dandanan rambut, automotif, jahitan serta kimpalan dan komputer.

"Mungkin selepas ini kita boleh kembangkan lagi bidang-bidang perkhidmatan lain di bawah program mobilepreneur.

"Kita boleh tambah perkhidmatan lain seperti penyelenggaraan (mesin dan peralatan), landskap, cucian kenderaan dari rumah ke rumah dan pengubahsuaian rumah pada masa depan," katanya di sini hari ini.

Menurut Ismail Sabri program mobilepreneur terbuka kepada individu berumur bawah 40 tahun dalam kumpulan berpendapatan B40 yang produktif serta mempunyai sijil kemahiran yang diktiraf oleh kerajaan, pernah mengikuti Program Latihan Kemahiran dan Kerjaya (PLKK) serta mempunyai pengalaman kemahiran dalam bidang projek berkaitan.

Mereka yang ber­­minat boleh mengemukakan per­mohonan kepada 231 Pusat Kemahiran GIATMARA di seluruh negara, katanya.