Itu pegangan pengasas Mug Moment, Salmah Wahid, 25, yang bergelut pelbagai kesukaran sebelum berada pada kedudukan sekarang. Isteri yang tidak kenal erti putus asa ini memiliki semangat kental untuk memperbaiki kehidupannya dan suami.

Salmah menceritakan betapa payah di waktu hidup dalam kesempitan. Katanya, walaupun sentiasa berdepan masalah kewangan, dia tidak mengalah, malah sentiasa mencari jalan untuk masa depan lebih baik.

“Dahulu, kehidupan saya dan suami sedikit sukar. Boleh dikatakan perbelanjaan bulanan sentiasa tidak mencukupi, tambahan pula saya dan suami menetap di ibu kota.

“Oleh itu, saya cuba apa sahaja, dari kerja mengedar risalah, menjual kuih sehingga tudung. Semua saya lakukan untuk peroleh pendapatan sampingan untuk membantu suami.

“Tapi semua temui jalan buntu, tiada satu berkekalan dan serba tidak menjadi. Itu hampir mematahkan semangat saya,” katanya.

Namun, benarlah di sebalik kegelapan, pasti ada cahaya menyinari jika sabar dan usaha itu jadi pegangan. Bagai rezeki buat Salmah, yang menemui ruang perniagaan sesuai dengan dirinya setelah membuat kerja sampingan untuk rakannya yang mengusahakan perniagaan percetakan.

Dengan pengalaman diperoleh itu, terdetik dalam fikirannya untuk memulakan sendiri perniagaan menjual mug kreatif.

“Saya dan suami tidak terburu-buru memulakannya kerana kami mahu perniagaan ini dibina atas duit sendiri, bukan pinjaman bank. Oleh itu, kami isi masa lapang dengan kerja-kerja sampingan untuk mengumpul wang sebagai modal permulaan.

“Modal awal tidaklah banyak iaitu sekitar RM8,000. Dengan jumlah itu, kami laburkan, membeli mesin cetak mug dan tempatkannya di rumah,” katanya.

Salmah akui pada awalnya sedikit khuatir jika perniagaan tersebut menerima nasib serupa dengan percubaan perniagaan sebelum ini. Katanya, tambah merisaukan apabila memikirkan kelompok sasaran untuk produknya itu.

“Tidak terfikir perniagaan ini boleh berkembang. Tambahan pula, saya tidak menjangkakan kelompok sasaran yang luas untuk penjualannya memandangkan bukan semua orang mahu membeli mug setiap masa.

“Namun, alhamdulillah, Allah buka jalan. Saya tidak menyangka akan menerima permintaan tinggi dan berterusan daripada pelbagai pihak termasuk individu, korporat dan kerajaan. Sangkaan saya meleset sama sekali,” jelasnya.

Jelas Salmah lagi, kualiti produk adalah teras untuk menarik keyakinan pelanggan. Katanya, dia sentiasa menekankan dan mengutamakan sudut tersebut agar perniagaan dapat berkembang.

“Hasilkan mug kreatif bukan mudah kerana melalui pelbagai proses yang rumit. Banyak aspek termasuk cetakan visual dan pemilihan mug perlu diberi perhatian.

“Ketika ini, saya masih bekerja sepenuh masa menjual tudung. Perniagaan (mug kreatif) ini saya lakukan secara separuh masa. Namun, ia membawa pulangan yang menguntungkan dan sekali gus membawa perubahan kepada kehidupan saya dan suami,” ujarnya.