Sejak dari zaman persekolahan lagi, ibu saya sudah memupuk jiwa usahawan dalam diri ini. Di sekolah saya pernah menjual keropok de­ngan harga 50 sen dan masih segar di ingatan saya kenangan membungkus keropok dalam peket-peket kecil setiap malam minggu sebagai stok jualan selama seminggu.

Satu hari jualan saya pernah mencecah RM20 manakala ibu pula akan memberi upah sebanyak RM2 sehari. Saya me­ngumpulkan duit upah jualan tersebut dan membeli sehelai baju dengan duit itu. Terasa satu kepuasan yang tak terungkap kerana berjaya memiliki baju idaman daripada hasil usaha sendiri.

Pada mulanya, saya malu untuk menjual keropok, tetapi perlahan-lahan saya memberanikan diri memberitahu rakan sekelas bahawa saya ada menjual keropok. Bermula dengan rakan baik saya yang menjadi pelanggan setia saya, kemudian hampir satu kelas menjadi pelanggan saya.

Ini secara tidak langsung mempromosikan keropok jualan saya kepada murid-murid di kelas lain. Itulah kekuatan promosi mulut ke mulut (word of mouth). Bermula dengan saya yang perlu mencari pe­langgan, kemudiannya pelanggan yang mencari saya.

Setelah bergelar mahasiswi UPM, kehidupan agak ber­ubah kerana masa sangat padat de­ngan kuliah, latihan klinikal, aktiviti kolej atau universiti dan banyak lagi. Namun ia bukanlah penghalang untuk saya meneruskan minat saya untuk menjadi seorang usahawan yang berjaya.

Laman Facebook untuk bisnes saya, Al-Qeesha AQ bagi menjual tudung labuh dan baju muslimah. Setakat ini saya hanya mampu bisnes secara dalam talian kerana ia lebih fleksibel dari segi tempat dan masa.

Saya bermula dengan memilih rakan-rakan yang mempunyai minat yang sama. Jadi ia memudahkan saya untuk berkongsi ilmu dan bertukar pendapat. Tetapi ia tidak bermakna saya terlalu cerewet dalam memilih kawan, saya berkawan dengan semua orang termasuklah pelajar kaum Cina, India, pekerja kafe, pengawal keselamatan dan ramai lagi.

Saya juga masih berhubung dengan rakan-rakan matrikulasi dan sekolah melalui media sosial seperti Facebook, WhatsApp, Ins­tagram dan sebagainya.

Bagi saya mereka adalah prospek saya. Setiap kali saya terlibat dengan apa-apa program atau seminar, saya akan bertukar-tukar nombor telefon dengan rakan baharu saya. Inilah cara saya untuk meluaskan jaringan kerja (networking).

Sejujurnya bidang keusa­hawanan mengajar saya untuk berfikiran secara matang, berkira-kira untuk membelanjakan wang pada perkara yang kurang memberi manfaat se­perti membeli gajet mengikut keinginan bukan keperluan, membeli baju secara berle­bihan, menonton wayang atau lain-lain lagi.

Ia juga mendisiplinkan saya dalam menjaga masa. Saya mempunyai perancangan khas untuk menyusun jadual ha­rian, bulanan dan mingguan agar tidak ketinggalan apa-apa perkara dan mudah untuk saya menyusun masa untuk pelajaran dan bisnes.

Saya faham bahawa ada golongan di luar sana yang mempunyai persepsi iaitu bisnes hanya untuk aktiviti mengisi masa lapang, atau kata lain ‘bisnes main-main’. Mungkin ada juga yang lebih selesa dengan hanya kerja makan gaji.

Di sini saya ingin berkongsi bahawa hakikat kini ribuan mahasiswa yang menganggur setelah tamat belajar dan masalah itu perlu diatasi segera. Kita sebagai generasi muda yang bakal menjadi pemimpin negara pada masa hadapan perlu bertindak bijak, tidak perlu hanya menunggu peluang kerja bahkan seharusnya kitalah yang mencipta peluang pekerjaan itu.

Pada era VUCA ini, kita harus bijak menggunakan peluang yang ada. Saya akan menghadiri seminar atau program keusahawanan percuma yang dianjurkan pihak universiti bagi menambah ilmu keusa­hawanan.

Saya mengaku tiada modal untuk memulakan bisnes di universiti, tetapi saya bermula dengan menjual produk orang lain. Kos pemasaran saya rendah kerana saya memanfaatkan orang di sekeliling untuk promosikan barang jualan saya.

Setelah itu, saya mencari seorang mentor untuk memberi bimbingan kepada saya, dalam bisnes mentor sa­ngat penting kerana ia dapat memberi idea atau mengesan masalah yang berlaku dalam bisnes kita.

Saya juga belajar ilmu pemasaran secara dalam talian iaitu dengan menonton YouTube. Jangan memberi alasan bahawa bisnes adalah sesuatu yang sukar untuk dimulakan. Dalam dunia ini tiada perkara yang mudah asalkan kita rajin untuk berusaha untuk me­ngu­bah nasib diri.

Allah sudah berjanji pada umatNya, sesiapa yang rajin berusaha dialah yang akan mendapat hasilnya.

Nor Falahian Bt. Zainuddin adalah siswazah Bachelor Kejururawatan 2017, Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan, UPM