Pengarah Urusan Kumpulan MMC, Datuk Seri Che Khalib Mohamad Noh berkata, syarikat tempatan kini telah mempunyai kepakaran setelah terlibat dalam projek MRT1 yang berjaya disiapkan lebih awal dan MRT2 yang sedang dalam pembinaan.

Menurut beliau, hasil kejayaan projek-projek MRT yang lalu telah melahirkan pakar-pakar jurutera, teknikal dan operator yang setanding dengan pakar-pakar asing dari luar negara.

“Jika kita lihat kejayaan syarikat tempatan yang diberi peluang membina lebuh raya di Malaysia pada masa dulu, kini telah ada syarikat tempatan yang mendapat projek-projek pembinaan lebuh raya di luar negara.

“Setelah berjaya membina MRT1 dan MRT2, kami harap kerajaan memberi peluang kepada syarikat-syarikat tempatan untuk terlibat dalam projek MRT3,” kata beliau di majlis Sesi Jari­ngan Kerja Minum Petang bersama media di sini baru-baru ini.

Turut hadir Ketua Pegawai Eksekutif Gas Malaysia Bhd., Ahmad Hashimi Abdul Manap; Ketua Pegawai Eksekutif MMC Engineering Services Sdn. Bhd., Mohd. Abdul Fatah Endut dan Penolong Ketua Pengarang Kumpulan Utusan, Datuk Hassan Mohd. Noor.

Beliau berkata demikian bagi mengulas struktur baharu melalui kontrak siap guna atau turnkey yang diperkenalkan Mass Rapid Transit Corporation Sdn. Bhd. (MRT Corp.) untuk projek laluan MRT3 Circle Line.

Ketua Pegawai Eksekutif­ MRT Corp., Datuk Seri Shahril Mokhtar berkata, melalui struktur tersebut, syarikat tempatan boleh membentuk konsortium bersama dengan syarikat asing terutama melibatkan sistem kerja-kerja komponen bagi membida tender projek itu.

MMC terlibat dalam projek MRT melalui MMC Gamuda KVMRT (T) Sdn. Bhd yang ditubuhkan pada 30 Mac 2012 dan terlibat dalam kerja-kerja bawah tanah bernilai RM15.47 bilion untuk projek MRT laluan Sungai Buloh-Serdang-Putrajaya (SSP).

Che Khalib berkata, MRT1 merupakan satu kisah kejayaan untuk syarikat-syarikat tempatan membuktikan bahawa mereka boleh melakukan projek-projek berkualiti untuk kepentingan rakyat.