Presiden Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (Angkasa), Datuk Abdul Fattah Abdullah berkata, kepercayaan itu berlandaskan kemampuan koperasi yang mengetahui ke­perluan dan kehendak kakitangan atau penuntut mereka.

Menurutnya, transaksi dalam persekitaran kampus juga amat besar dan berpotensi untuk berkembang sekiranya diuruskan dengan baik oleh pihak koperasi.

“Berdasarkan rekod, ternyata koperasi di UA boleh memainkan peranan dalam menyediakan perkhidmatan kepada warganya dan mengapa perlu kita beri kepada pihak luar untuk menguruskan infrastruktur yang ada di UA sedangkan koperasi mereka sendiri mampu untuk menguruskannya.

“Justeru, apa yang dilaksanakan oleh Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) menerusi koperasinya perlu dijadikan contoh terbaik dalam memberikan peluang kepada pihak koperasi untuk melaksanakan perniagaan mereka dan pada masa sama mampu memberi pulangan yang baik kepada ahli,” katanya selepas menghadiri Majlis Menandatangani Perjanjian Pembiayaan Antara Koperasi UTHM Bhd. dan Bank Rakyat serta Perjanjian Penyewaan Antara koperasi itu dan UTHM di UTHM Kampus Pagoh, di sini semalam.

Yang turut hadir, Naib Canselor UTHM, Prof Dr. Wahid Razzaly; Ketua Pegawai Operasi (Perniagaan) Bank Rakyat, Datuk Amirudin Abdul Halim dan Pengerusi Koperasi UTHM Berhad, Prof. Madya Dr. Razali Hassan.

Menerusi perjanjian itu, Koperasi UTHM Bhd. memperoleh pembiayaan sebanyak RM148 juta dari Bank Rakyat bagi membeli sebuah kompleks kediaman penuntut berkeluasan 10.4 hektar yang dibangunkan oleh pihak swasta.