Semakin sukar bagi para graduan untuk mendapat pe­kerjaan di sektor-sektor ter­tentu. Jadi, kebanyakan mereka lebih mendorong untuk memilih menjalankan perniagaan sendiri.

Soalnya, bagaimanakah cara mereka hendak memulakan perniagaan itu sendiri? Tidak semua yang mampu memulakan dan menguruskan perniagaan terutama jika bergerak sendiri.

Mereka yang ingin mengambil risiko ini harus kental dan sanggup menerima apa sahaja cabaran yang bakal dihadapi.

Berikut ialah merupakan perkongsian daripada saya, pemilik Ombak Printing & Services, yang bermula sebagai penjual kacang di kolej kediaman ketika di tahun pertama dan kedua dan seterusnya membuka kilang percetakan sendiri ketika tahun ketiga pengajian di Universiti Putra Malaysia.

* Sokongan orang sekeliling

Walau sebesar mana sesuatu perniagaan, mustahil bagi seseorang itu mencapai kejayaan yang tinggi tanpa sokongan orang sekeliling, terutama keluarga. Zaman sekarang agak sukar untuk mendapat kepercayaan daripada sesiapa kerana hanya diri kita sendiri yang perlu yakin dengan apa yang kita hendak lakukan serta keyakinan daripada ibu bapa dan keluarga sendiri.

Sekiranya kita berada di dalam bulatan yang kurang menyokong perjuangan perniagaan kita, maka perlu mengubah untuk mencari bulatan yang lebih positif. Rakan-rakan seperjua­ngan dalam bilik darjah akan banyak membantu anda sekiranya mereka memahami perjuangan perniagaan anda.

* Pengurusan masa

Bak kata pepatah Melayu, Masa itu emas. Jadi setiap masa yang dibazirkan adalah sangat merugikan. Usahawan yang berjaya, tidak pernah ada masa untuk dibuang kerana bagi mereka setiap masa itu ibarat nyawa.

Antara langkah yang perlu diamalkan oleh seorang mahasiswa atau mahasiswi yang ingin menjalankan perniagaan sambil belajar adalah penyedia­an jadual. Satu perkara yang lebih penting ialah selepas penyedia­an jadual, hendaklah me­­ngikut jadual secara ber­disiplin. Percayalah, jadual yang tersusun akan membuatkan anda pergi lebih jauh di dalam perniagaan dan akan mendapat prestasi akademik yang cemerlang.

* Pengorbanan masa, wang ringgit dan emosi

Antara ciri-ciri orang yang berjaya ialah sanggup berkorban. Jika daripada mula, tidak berani untuk mengambil risiko, seseorang itu akan sukar untuk maju ke hadapan. Masa bersama keluarga dan rakan-rakan pasti akan terkorban dek sibuk menguruskan urusan kerja yang menimbun ketika permulaan perniagaan sambil belajar ini.

Orang sering melaung-laungkan bahawa seorang usahawan mempunyai masa yang fleksibel. Tetapi tahukah anda bahawa rata-rata usahawan terpaksa berkorban masa berharga mereka untuk membangunkan perniagaan? Tiada istilah seorang usahawan duduk diam dapat duit. Tetapi itu tidak menjadi penghalang untuk seseorang usahawan mencuri masa sedikit untuk diluangkan bersama insan yang tersayang kerana usahawan yang hebat menguruskan perniagaan, pasti hebat juga menguruskan masa.

Ini bermakna, pengorbanan tidak semestinya hanya tertumpu pada berkorban masa untuk diri sendiri dan bersama insan tersayang.

Pengorbanan wang ringgit juga adalah perkara biasa bagi seorang usahawan.

Tipulah jika seorang usahawan tidak pernah mengorbankan wang ringgit mereka walaupun sedikit untuk membangunkan perniagaan.

Sebagai seorang usahawan mereka sanggup mengeluarkan wang ringgit agar dapat mencapai kehendak yang mereka inginkan dalam perniagaan mereka.

Mengenai pengorbanan emo­­si, orang sekeliling pandai bercakap bahawa untuk menjadi seorang usahawan, ‘hati mesti mahu kering’. Tetapi sejauh manakah mereka boleh bertahan dengan sikap sebegini?

Usahawan akan sentiasa menghadapi tekanan emosi dalam perjalanan perniagaan yang memerlukan mereka untuk sentiasa mengawal pera­saan supaya dapat melangkah ke tahap yang seterusnya.

* Kerjaya sebagai usahawan

Jadi sebagai seorang mahasiswa/siswi yang baru ingin memulakan perniagaan, adakah anda sudah bersedia untuk semua ini? Mengetahui potensi diri juga amat penting jangan tahu terjah sahaja dek seronok melihat rakan-rakan lain membuat bisnes.

Tidak ada istilah tiada bakat dalam bidang perniagaan tidak boleh menjadi seorang usahawan. Fahaman ini harus dikete­pikan. Paling utama adalah berusaha dan tanamkan dalam diri sifat ingin belajar dan me­nimba ilmu dalam perniagaan.

Seorang mahasiswa/siswi harus bijak membuat keputusan dan merancang masa depan perniagaan dan diri sendiri. Jika saya seorang graduan universiti mampu melakukannya, mengapa tidak anda?

Shaick Saifullah 
Jehangir Ali merupakan graduan Bacelor Pengajian Pengguna, Universiti Putra Malaysia, 2016