Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek berkata, antara langkah yang akan diambil oleh kementerian melalui Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) adalah menjalankan kajian bagi mengenal pasti keaslian madu kelulut yang dipasarkan oleh pengusaha di negara ini.

Kata beliau, MARDI akan mem­buat penetapan dalam tempoh enam bulan bagi memastikan sama ada madu kelulut yang dihasilkan dan dijual di pasaran adalah asli atau tiruan berdasarkan kepada kandungan madu itu.

“Kajian tersebut akan menilai dari segi kandungan air yang sepatutnya dicampurkan sekali gus tidak mengurangkan kandungan nutrien dan antioksidan dalam madu kelulut yang 10 kali ganda lebih baik daripada madu biasa.

“Jika dahulu perusahaan madu kelulut merupakan perkara biasa tetapi kini ia dilihat sebagai satu usaha yang memerlukan ilmu mengenai kaedah bagi memastikan ia tidak lari dan perkongsian ini perlu diadakan melalui penga­laman pengusaha,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar pada majlis pelancaran Program Kelulut Walk 2016 negeri Melaka di pekarangan Kota A Famosa Banda Hilir di sini hari ini.

Dalam program itu, Ahmad Sha­bery melepaskan Duta Kelulut Walk, Sabri Ali, 54, untuk memulakan perjalanan sejauh 43.9 kilometer dari Kota A Famosa ke Dataran Keris Alor Gajah yang merentasi semua negeri bertujuan mempromosi madu kelulut sebagai superfood.

Ahmad Shabery berkata, sehingga kini dianggarkan lebih 1,000 pengusaha madu kelulut yang berdaftar di bawah kementerian yang mana ramai dalam kala­ngan mereka yang menjadikan ia sebagai hobi namun menghasilkan pembungkusan yang baik.

Katanya, permintaan madu kelulut masih melebihi penawaran dan ini menunjukkan harga makanan sihat ini akan terus me­ningkat tambahan pula disenaraikan sebagai produk utama negara apatah lagi jika dieksport.

Dalam pada itu katanya, pencapaian yang dilakukan oleh Sabri menerusi program Kelulut Walk 2016 ini adalah membanggakan ke­rana beliau membawa satu jenama iaitu madu kelulut dan menunjukkan contoh cara hidup yang sihat iaitu memulakan hari anda dengan mengambil madu untuk kesihatan.