Itu antara prinsip dipegang Rozaimi Nizar,37, usahawan tempatan yang kini mampu tersenyum dengan kejayaan yang telah dicapai. Pengasas Hoka Resources, sebuah syarikat pengendali acara, pengiklanan dan pemasaran digital ini seperti usahawan lain yang tidak terlepas berdepan dengan pelbagai liku sebelum berada pada kedudukan sekarang.

Pemuda yang senang dengan panggilan Jimmy ini tidak sedikit pun berahsia, malah bersikap terbuka berkongsi kisah turun naik kehidupan dalam sesi pertemuan yang diadakan di pejabatnya di Damansara Perdana baru-baru ini. Dia yang lahir dan dibesarkan di Kuala Lumpur memberitahu pernah berdepan saat gelap iaitu ditipu rakan kongsi yang merupakan sahabat lama dalam industri yang sama.

“Sebelum ini, saya dan rakan terbabit menubuhkan sebuah syarikat bersama. Kepercayaan diberi 100 peratus kepadanya bagi menguruskan kewangan syarikat. Syarikat kami berkembang dengan baik dan berjaya mengendalikan projek besar termasuk anjuran Petroliam Nasional Bhd. (Petronas) di peringkat antarabangsa.

“Lama kelamaan, saya menyedari tindak tanduk beliau agak meragukan. Terdapat dana yang masuk ke dalam akaun hilang begitu sahaja. Situasi ini berlanjutan sehingga penghujung tahun lalu apabila ada bayaran hasil projek diusahakan turut mengalami situasi yang sama.

“Tempoh itu merupakan saat sukar bagi saya. Tanpa sebarang wang untuk operasi perniagaan, saya temui jalan buntu. Ia memberi impak besar buat diri apabila kereta ditarik, rumah dilelong dan pendidikan anak-anak terjejas. Saya hanya berharap pada alternatif lain termasuk meminjam wang daripada isteri dan rakan baik,” katanya.

Tidak mengambil masa lama, Jimmy bangkit mengatur strategi baharu dengan menubuhkan Hoka Resources. Graduan rekaan fesyen dari Universiti Teknologi Mara itu tidak toleh ke belakang, sebaliknya berterusan mencari peluang bagi mengukuhkan syarikat baharu.

“Saya amat bertuah. Berkat kesungguhan dan rekod baik sebelum ini telah menarik banyak syarikat korporat yang menawarkan projek kepada saya. Oleh kerana itu, Hoka Resources telah berjaya memperoleh keuntungan memberangsangkan dalam tempoh kurang setahun. Alhamdulillah, syarikat kini terus berkembang dengan pantas,” ujarnya.

Jimmy yang turut dicalonkan sebagai penerima anugerah tokoh usahawan belia oleh Majlis Belia Malaysia (MBM) memberitahu, sebagai usahawan, banyak perkara yang perlu dititikberatkan agar perniagaan mencapai kejayaan pada masa akan datang.

“Dalam perniagaan, perlu ada kesungguhan. Bukan sekadar ingin mendapatkan keuntungan. Saya percaya, perkhidmatan yang bagus dan berkualiti adalah faktor yang cukup penting untuk memastikan pelanggan kembali menggunakan perkhidmatan yang ditawarkan.

“Oleh kerana itu, saya tidak letakkan wang sebagai perkara utama, sebaliknya kepuasan pelanggan adalah perkara nombor satu.

“Imej juga memainkan peranan utama. Untuk menarik kepercayaan orang, kita perlu tampil dengan imej yang meyakinkan. Ini seiring dengan ilmu dan kepakaran. Apa yang dijanjikan kepada pelanggan perlu dicapai secara menyeluruh,” ujarnya.

Jelas bapa kepada dua cahaya mata ini, dia mahu melihat syarikatnya berkembang dan mampu memberi manfaat kepada komuniti. Harapannya, Hoka Resources dapat menjadi platform akademik bagi mencungkil dan melatih bakat-bakat tempatan dalam industri kreatif.

“Hakikatnya, belia negara ini mempunyai kebolehan dalam industri kreatif dan mereka perlu diberi peluang untuk menonjolkan kelebihan itu kepada masyarakat. Oleh yang demikian, saya berharap satu hari nanti, saya berpeluang menerajui mereka sehingga mencapai kejayaan,” katanya menutup perbualan.