Rosilah Isnan, 40, berkata, arwah suaminya, Muhammad Tarmimi Sujak, 37, yang bertugas sebagai anggota bomba di Balai Bomba Rengit, Batu Pahat meninggal dunia akibat serangan jantung pada Disember tahun lalu.

“Kehilangan suami amat mengejutkan saya dan anak, Mohamas Danial, 13, kerana sebelum ini arwah seorang yang sihat dan tidak pernah mengalami komplikasi jantung dan bagaikan mimpi.

“Selepas suami meninggal dunia, saya dan anak hilang tempat bergantung kerana kami tidak mempunyai rumah dan hingga kini saya masih dibenarkan tinggal di kuarters sementara menunggu rumah ini siap sepenuhnya,” katanya selepas majlis Perasmian Pecah Tanah pembinaan kediaman itu oleh Ahli Parlimen Labis, Datuk Chua Tee Yong di Kampung Kangkar 1, di sini baru-baru ini.

Yang turut hadir Penguasa Bomba Zon Muar, Jahari Bahari dan Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Labis, Mohd. Farizan Mokhtar.

Rosilah berkata, kini mereka sekeluarga hanya bergantung dengan pencen arwah suami selain mengambil upah membuat kuih dan tidak menolak kemungkinan untuk mencari kerja selepas berpindah ke rumah baharu nanti.

Sementara itu, Jahari berkata, projek pembinaan di bawah program Strategi Lautan Biru Kebangsaan Ketujuh (NBOS 7) itu melibatkan 10 anggota bomba dan penyelamat dari Balai Bomba Labis, Yong Peng, Rengit, Penggaram dan Batu Pahat.

Pembinaan rumah tersebut dijangka siap pada 19 November depan dengan peruntukan RM40,000 daripada Kementerian Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan.

“Pada tahun ini, JBPM negeri ini membina empat unit PBR dan tiga daripadanya melibatkan kebakaran dan sebuah lagi bagi keluarga anggota bomba.

“Rumah yang mempunyai tiga bilik ini diharap dapat memberi keselesaan kepada penerima bantuan bagi meneruskan kehidupan dengan lebih baik pada masa depan,” katanya sambil meng­alu-alukan bantuan dan sumba­ngan orang ramai.

Sementara itu, Tee Yong yang juga Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri berkata, usaha JBPM negeri ini secara tidak langsung membuktikan pasukan tersebut sentiasa prihatin terhadap kebajikan keluarga anggotanya terutama mereka kurang berkemampuan.