Pernahkah anda dengar tentang SEBENARNYA.MY

Logo Kaji Selidik Pembaca

Pernahkah anda dengar tentang SEBENARNYA.MY ?

Pernahkah anda dengar tentang SEBENARNYA.MY ?




Sila respon kepada soalan di atas untuk menutup skrin ini

Show result

Almas mahu masuk pasaran global

Maziah berusaha keras promosi produk di peringkat antarabangsa

Maziah Mohamed bergambar bersama koleksi produk keluaran syarikatnya, Almas yang mendapat permintaan 2
Maziah Mohamed bergambar bersama koleksi produk keluaran syarikatnya, Almas yang mendapat permintaan tinggi daripada pengguna.

Minat mendalam sejak di bangku sekolah mendorongnya untuk bergerak lebih serius dalam dunia perniagaan dalam bidang kecantikan dan kesihatan, walaupun menyedari bakal berdepan pelbagai cabaran dan rintangan terutama munculnya persaingan yang tumbuh bagai cendawan.

Pengasas Almas Beauty & Health Sdn. Bhd. (Almas), Datin Maziah Mohamed, 49, yang merupakan ibu kepada lima anak tidak pernah gentar berdepan semua cabaran itu malah beranggapan segala rintangan tersebut merupakan pembakar semangat untuknya terus berusaha dan tidak leka dengan apa yang telah dikecapi.

Memasuki tahun ke-13 dalam industri ini, dia kini mampu tersenyum lebar melihat empayar yang dibina kini membuahkan hasil malah mendapat sokongan keluarga serta berjaya mencipta legasi untuk anak-anak pada masa depan.

“Saya berasal daripada keluarga bisnes, semasa di bangku sekolah saya membantu keluarga menjual di pasar malam dan pasar mini. Saya juga menjual sutera dan emas.

“Cuma minat menceburi perniagaan dalam bidang kecantikan ini disebabkan sejak kecil saya amat teliti dan suka pada sesuatu yang cantik serta bersih sehingga berani meletakkan matlamat untuk menjadi pengeluar produk kecantikan. Alhamdulillah impian itu akhirnya tercapai jua,” katanya ketika ditemui pada Majlis Berbuka Puasa bersama anak yatim dan pelajar asnaf Sekolah Kebangsaan Bunga Raya 1, Bukit Beruntung, Selangor, baru-baru ini.

Tambah anak bongsu daripada dua beradik itu, dia membuat keputusan nekad untuk menceburi bidang perniagaan kosmetik selepas pulang daripada mengerjakan umrah.

“Saya berdoa dan minta petunjuk Allah untuk memberi jalan yang terbaik. Ketika berada di tanah suci saya tetapkan pendirian untuk berniaga. Nama Almas dan logo juga terlahir ketika berada di sana (tanah suci),” ujarnya.

Walaupun lambakan pengeluar produk kecantikan dan kesihatan, namun Almas yang ditubuhkan pada 2009 tetap menjadi pilihan pengguna setianya.

“Untuk itu saya merancang untuk menambah bilangan stokis, pengedar dan ejen kecil. Walaupun saingan amat sengit kerana terdapat terlalu banyak produk di pasaran sekarang, namun saya tidak gentar kerana yakin dengan keberkesanan produk yang berkualiti, menjalani tahap prosesan yang bersih, canggih dan melalui penyelidikan dan pembangunan (R&D) serta maklum balas yang baik daripada pelanggan.

“Sehingga kini, Almas memiliki lebih 1,000 stokis dengan jumlah kakitangan di ibu pejabat lebih 30 orang. Saya ingin menambah lebih banyak ejen kecil kerana dengan cara ini pembeli dapat membeli produk saya secara terus dan ini meningkatkan lagi pengamal produk kami,” jelasnya.

Maziah tidak mahu toleh ke belakang lagi, sebaliknya sentiasa berpegang kepada falsafah ‘tidak mustahil untuk menggapai bintang di langit jika terus berusaha keras dan disertai dengan doa’.

Maziah turut merancang untuk mempelbagaikan bidang perniagaan bagi diwariskan kepada anak-anak serta mahu mendidik anak-anak dalam bidang perniagaan dan melihat sendiri kegigihan mereka dan suami dalam mencapai cita-cita.

Bermula dengan set pencerah dan losen, Almas kini sudah mempunyai lebih 30 produk. Antara yang paling laris, Jus Nusantara, Charisma, Jus Kasih Sayang, Jamu Seri Dara, Almas Cafe dan Slimdah Fiber Sol Cafe.

Kebanyakan produknya mengutamakan kesihatan dalaman dan luaran wanita serta pencerahan kulit. Almas turut mengeluarkan set minyak wangi untuk lelaki dan wanita yang bebas alkohol dan boleh dibawa untuk solat.

“Kami di Almas mahu berkongsi manfaat produk sehingga ke peringkat global memandangkan wujudnya permintaan dari pasaran luar. Saya sedang berusaha ke arah itu untuk melihat produk Almas di pasaran antarabangsa,” katanya.

Tambahnya, untuk kekal dalam industri ini, seseorang bukan sahaja perlu pandai bercakap untuk melariskan produk malah perlu mengisi ilmu selain memiliki jumlah modal yang mencukupi.

“Kita tidak perlu takut dengan cakap orang. Di mana ada usaha pasti di situ ada jalan, yang penting jangan mudah putus asa sekiranya berdepan cabaran. Ambil pendekatan sendiri untuk promosi bagi melariskan produk.

“Sekiranya kita berniaga secara jujur, insyallah perniagaan itu akan diberkati,” katanya.

Artikel Berkaitan
Video Pilihan
Artikel Lain