Pada awalnya, graduan ijazah Sarjana Muda Perakaunan dari Kampus Sultan Haji Ahmad Shah, Universiti Tenaga Nasional, Muadzam Shah, Pahang ini pernah mencuba pelbagai bidang kerjaya, termasuk bekerja di sebuah syarikat pengurusan acara dan restoran.

Ketika ditemui S2, katanya, minat dalam bidang perniagaan bermula sejak beliau menjual produk milik orang lain yang dilihat mempunyai pasaran yang baik. Dari situ, timbul angan-angan untuk memiliki produk sendiri.

Tahun 2016 merupakan tahun bertuah apabila Syamierul berjaya mengeluarkan produk sendiri yang dikhususkan untuk mereka yang ingin mengurangkan berat badan.

Penubuhan syarikat MSR Empire menyaksikan produk menghapuskan lemak yang diberi nama F2F Fat Destroyer diperkenalkan bagi membantu golongan obesiti menurunkan berat badan.

Syarikat yang beroperasi di Kuala Terengganu ini memilih produk makanan tambahan bagi membantu orang ramai memperoleh kesihatan yang baik berikutan gaya hidup masyarakat yang terlalu sibuk.

Menurutnya, produk itu bukan sahaja mampu menurunkan berat badan, malah boleh dijadikan makanan tambahan untuk semua golongan dalam membantu amalan diet yang sihat.

“Penggunaan produk ini mampu memberikan rasa kenyang berpanjangan kerana mengandungi pelbagai khasiat seperti fiber, selain memperlahankan penghadaman.

“Ia juga membantu wanita yang mempunyai kitaran haid tidak teratur, selain mengandungi vitamin C yang baik untuk kulit,” katanya.

Bercerita mengenai perjalanan perniagaannya, Syamierul berkata, pada peringkat awal, dia mengumpul duit hasil daripada jualan produk syarikat lain.

Menurutnya, setelah wang yang dikumpul benar-benar cukup, barulah dia berani mengeluarkan produk sendiri, menjalankan pemasaran dan jualan melalui internet.

“Facebook dan Instagram banyak membantu membangunkan perniagaan ini, sehingga berjaya menjual 2,000 botol sebulan walaupun persaingan agak besar,” katanya.

Dia kini mempunyai lima orang pekerja bagi menguruskan pesanan dan membungkus untuk dihantar kepada pembeli. Ternyata kehadiran pekerja terbabit membantunya melancarkan perjalanan perniagaannya.

Produk ini dijual pada harga RM100 dan boleh digunakan selama sebulan mengikut diet yang disyorkan.

Syamierul yakin dalam tempoh dua tahun akan datang, dia mampu mengembangkan perniagaan tersebut, selain mengeluarkan pelbagai produk minuman dan makanan tambahan untuk semua peringkat umur.

Syarikat beliau juga telah mengadakan pertandingan penurunan berat badan, khusus buat pelanggannya yang diberi nama F2F Challenge bagi memupuk kesedaran menurunkan berat badan dan masalah obesiti.

“Mereka yang menyertai pertandingan ini akan menerima hadiah wang tunai RM15,000 jika berjaya mengurangkan berat badan mereka.

“Peserta tidak dibiarkan begitu sahaja kerana kami menyediakan jurulatih bertauliah serta aktiviti senaman dan kem latihan bagi membantu melatih peserta tentang teknik yang betul dalam senaman,” katanya.