Pada peringkat tersebut, Ishhak, 57, sanggup memberikan aiskrim ciptaannya secara percuma hanya kerana ingin mendapat maklum balas daripada orang yang mencubanya supaya dapat memberikan komen bagi memperbaiki dari segi rasa dan juga tekstur.

“Yang peliknya nak bagi rasa secara percuma pun orang tidak mahu malah ada yang memperlecehkan keupayaan orang Me­layu membuat aiskrim,” katanya ketika itemui di rumahnya di Kampung Ujung Batu, Utan Aji dekat sini baru-baru ini.

Malah katanya, ada yang mencebik muka kerana membandingkan aiskrim ciptaannya dengan jenama lain yang sudah terkenal.

Semenjak itu Ishhak akhirnya memliih untuk menjenamakan sebagai Aiskrim Pak Long sekaligus ia mampu melonjakkan aiskrim kampung ciptaannya.

Ketika ditanya bagaimana dia boleh memilih perniagaan aiskrim, kata Ishhak sejak umur 9 tahun lagi dia sudah berniaga aiskrim Malaysia.

“Saya membeli aiskrim itu di sebuah kedai Cina di Titi Chai, Utan Aji untuk dijual di rumah orang kawin dengan mengayuh basikal,” katanya mengusahakan Pak Long Aiskrim sejak dua tahun lalu.

Selain itu, dia juga sering me­lawat keluarganya di Satun, Thailand yang mengusahakan perniagaan aiskrim sedikit sebanyak telah mendedahkan dirinya de­ngan lebih awal dalam dunia ini.

Di masa usia muda pula dia bekerja di bidang kimpalan termasuk syarikat Jepun yang menggalakkan penciptaan barangan.

“Apabila balik ke Perlis, saya berpeluang bekerja di Jabatan Pertanian sebagai kakitangan kontrak di mana antaranya telah berjaya menghasilkan mesin ta­nam jagung yang digunakan oleh petani sehingga sekarang,” kata­nya yang turut dibantu anaknya, Noor Atikah.

Kebolehan ini telah digunakan oleh Ishhak bagi menyediakan peralatan bagi menghasilkan Aiskrim Pak Long.

Beliau berkata, bukan sahaja dia perlu melakukan percubaan untuk menghasilkan aiskrim kampung yang setanding dengan jenama popular malah turut me­lakukan inovasi untuk peralatan yang digunakan.

Antaranya Ishhak telah menggunakan mesin gerudi yang di­sambungkan dengan pembancuh bagi digunakan untuk memukul adunan utama sehingga menjadi kembang dan membina tempat meletak mesin peralatan membeku aiskrim.

Ishhak memberitahu, setakat ini dia menghasilkan enam perisa tetap iaitu durian, keladi, jagung, vanila, coklat dan kelapa selain juga perasa mempelam harumanis apabila tiba musimnya.

Katanya, dia hanya menjual aiskrim untuk pasar malam di Pasar Sena Kangar (Rabu), Kuala Perlis berhampiran pasar (Selasa), Seberang Ramai Kuala Perlis (Sabtu) dan Arau (Jummat).

Bagaimanapun katanya, dia juga menerima tempahan di mana untuk satu liter dijual de­ngan harga RM5.50 dan enam liter (RM36).

Ishhak berkata, dia juga me­nerima tempahan daripada sesiapa yang mahu mengadakan kenduri kahwin tetapi setiap hari hanya terhad untuk dua buah rumah sahaja kerana tidak cukup dari segi kemudahan peralatan khususnya peti dingin beku.

Beliau bersyukur kerana mendapat bantuan peralatan dan bimbingan daripada Jabatan Ve­terinar dan juga Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) negeri.

Ishhak berkata, kalau dahulu pendapatannya menjual aiskrim hanya RM5 sehari kini boleh mencecah RM300 sehari sekali gus berjaya mengangkat nama aiskrim kampung setanding de­ngan jenama popular lain.