Program di bawah Strategi Lautan Biru Kebangsaan (NBOS) yang boleh diakses melalui agrobazaar.com.my itu menyediakan pasaran baharu untuk produk pertanian dengan mewujudkan komuniti agromakanan secara dalam talian.

Melalui portal itu, usahawan kecil berpeluang menjana pendapatan lebih tinggi dengan menyediakan produk agromakanan bermutu tinggi kepada orang ramai.

Timbalan Pengarah Pemasaran FAMA, Nor Azhar Abdul Hamid berkata, portal agrobazaar itu memberi manfaat kepada usahawan industri kecil dan sederhana (IKS) yang mahu menyebarluas pasaran produk mereka di seluruh negara.

“Kami memberi peluang kepada usahawan IKS memasarkan produk mereka di bawah satu laman web iaitu agrobazaar.com.my. Laman web ini menjadi platform pemasaran maya menemukan pengeluar, pengilang, pembekal dan pengguna secara online.

“Terdapat enam kategori iaitu tanaman, ternakan, perikanan, industri asas tani, pelancongan dan perkhidmatan yang disediakan,” katanya kepada S2.

Di samping itu, katanya, agrobazaar online ini berkonsepkan padanan perniagaan (business matching) iaitu memadankan perniagaan dengan pelanggan atau pembekal lain.

Tambahnya, FAMA juga akan membantu daripada segi pembangunan usahawan untuk bersaing dalam bidang online.

“FAMA percaya model perniagaan terkini haruslah dilakukan secara offline dan online untuk memastikan usahawan mampu bersaing di arena nasional.

“Sehingga kini, sebanyak 4,441 produk IKS dipasarkan secara maya di laman web agrobazaar dan terdapat seramai 2,016 usahawan aktif mempromosikan produk mereka,” katanya.

Menurutnya, antara produk mendapat sambutan adalah buah-buahan bermusim, barangan proses seperti madu, produk agromas dan set hidroponik.

Selain itu, katanya, usahawan tersebut turut diberi peluang mendapatkan latihan pemasaran internet, penyediaan promosi produk makanan di laman sosial seperti Facebook, Instagram dan Google.

“Mereka juga diberi peluang mempamerkan produk masing-masing dalam program FAMA yang terpilih,” ujarnya.

Dalam pada itu, Nor Azhar berkata, sempena Pameran Antarabangsa Pertanian, Hortikultur dan Agro Pelancongan Malaysia (MAHA 2016) pada 1 hingga 11 Disember ini, seramai 34 usahawan online terpilih untuk mempamerkan produk mereka.

Katanya, pameran yang berlangsung di Tapak Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS) Serdang, Selangor itu membolehkan usahawan berkenaan memperkenalkan produk mereka secara offline.

“Bagi usahawan agrobazaar online yang tidak terpilih, mereka diberi peluang menjual produk secara dalam talian dengan potongan diskaun bermula 28 November hingga 11 Disember ini,” katanya.

Sehingga kini, terdapat lebih 50 produk ditawarkan secara dalam talian sempena MAHA 2016.

Mereka yang berminat atau membeli secara online boleh menghubungi pengurusan agrobazaar.com.my atau menghubungi talian 03-61262020 pada waktu bekerja dari pukul 9 pagi hingga 5 petang.