Pengerusi Eksekutifnya, Datuk Seri Abd. Majid Zainal Abidin berkata, daging kambing mendapat permintaan yang baik di luar negara seperti China yang telah menempah sebanyak 50 tan dianggarkan bernilai RM3 juta.

Beliau berkata, permintaan dijangka boleh mencapai sehingga 500 tan pada tahun depan dan pihaknya sedang mencari lebih banyak tanah untuk dimajukan sebagai ladang ternakan kambing bagi memenuhi permintaan pasaran yang sangat menggalakkan.

“Buat masa ini, kami mengusahakan tanah seluas 100 ekar di Pekan, Pahang dan 50 ekar lagi di Bagan Datoh, Perak untuk dijadikan pusat penyembelihan dan pembungkusan bagi memenuhi pasaran tempatan dan luar negara,” katanya di sini.

Agro World baru-baru ini telah melancarkan produk daging kambing sejuk beku untuk pasaran domestik dan eksport, selain mengadakan perjanjian persefahaman (MoU) dengan Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Raub, Pahang bagi meningkatkan pengeluaran.

Majlis tersebut turut dihadiri Pengerusi Konsortium Koperasi Wanita Malaysia, Datuk Seri Dr. Siti Zaharah Sulaiman; Pengarah Eksekutif Agro World, Datin Seri Siti Nur Cahaya Ramlan; Pengerusi PPK Raub, Zulkifli Mohd. Yusuf dan Ketua Eksekutifnya, Mohd. Shafik Mohd. Taufik.

Abd. Majid berkata, syarikatnya mengambil pendekatan bekerjasama dengan PPK dan penternak persendirian bagi membangunkan rumah sembelihan serta kilang pemprosesan daging berteknologi tinggi berhampiran ladang untuk mengekalkan kualiti dan kesegaran daging kambing yang dihasilkan.

“Penternak akan diberi bantuan membaik pulih dan menaik taraf kawasan penternakan di samping bantuan baka. Hasil ternakan akan dibeli semula oleh Agro World untuk penyelesaian masalah pasaran.” katanya.

Menurut Abd. Majid, selain ternakan, Agro World ketika ini menjalankan aktiviti tanaman buah naga di Ulu Tiram, Johor Bahru seluas 2,000 ekar dan menyasarkan penanaman 10,000 ekar pada tahun 2022 dengan nilai jualan sebanyak RM150 juta sebulan.

“Sejak tiga tahun lalu, hasil dalam bentuk minuman kesihatan di eksport ke Taiwan. Pada tahun depan, syarikat akan menaik taraf kilang di Kulim High-Tech Park untuk mengeluarkan hasil buah naga dalam bentuk kapsul sebagai makanan tambahan dan bahan asas kosmetik. Syarikat menjalankan penyelidikan bersama Universiti Sains Malaysia (USM),” ujarnya.