Pernahkah anda dengar tentang SEBENARNYA.MY

Logo Kaji Selidik Pembaca

Pernahkah anda dengar tentang SEBENARNYA.MY ?

Pernahkah anda dengar tentang SEBENARNYA.MY ?




Sila respon kepada soalan di atas untuk menutup skrin ini

Show result

‘Bukan mudah jadi usahawan’

Mohamed Al-Amin Abdul Majid
Mohamed Al-Amin Abdul Majid

KUNJUNGAN Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak ke China baru-baru ini, berjaya membuka pintu seluas-luasnya kepada usahawan Malaysia untuk bertapak di negara tembok besar itu.

Dengan peluang tersedia di depan mata, seharusnya ia menjadi platform yang baik kepada usahawan tempatan yang mahu mengembangkan perniagaan mereka ke peringkat global kerana China merupakan pasaran yang cukup besar.

Bagaimanapun, apa yang membimbangkan, sejauh mana perusahaan kecil dan sederhana (PKS) di negara ini bersedia untuk merebut peluang ini, tambahan pula dengan perniagaan secara dalam talian dan manfaat e-dagang menerusi inisiatif Zon Perdagangan Bebas Digital (ZPBD), adakah PKS tempatan sudah melengkapkan diri mereka dengan ilmu di dada?

Wartawan Utusan Malaysia, Zunai dah Zain on mewawancara Pengerusi SME Corp., Tan Sri Ir. Dr. Mohamed Al-Amin Abdul Majid yang mempunyai pandangan tersendiri dalam melahirkan usahawan Malaysia yang berkeupayaan global.


Utusan: Selain berdepan dengan keadaan ekonomi tidak menentu seperti harga komoditi dan kelemahan mata wang, apa lagi kekurangan yang perlu ditangani usahawan tempatan?

Mohamed Al-Amin: Saya melihat, penggunaan teknologi dan inovasi dalam kalangan PKS masih terhad kerana kurangnya penyertaan dalam sistem inovasi negara. Kebanyakan PKS tidak melibatkan diri dalam aktiviti penyelidikan dan pembangunan (R&D) sebagai pelaburan modal.

Pada 2012, perbelanjaan R&D PKS hanya menyumbang 1.13 pera­tus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK), peningkatan sebanyak 0.34 peratus berbanding 2008 iaitu 0.79 peratus.

Satu lagi isu besar adalah pergantungan yang tinggi kepada buruh asing tidak mahir menyebabkan PKS kurang mengguna pakai teknologi baharu. Secara dasarnya, terdapat jurang bagi bekalan buruh sedia ada disebabkan ketidaksepadanan antara penawaran dan permintaan.

PKS secara umumnya tidak berminat untuk menghantar pekerja berlatih kerana takut gangguan dalam aktiviti kerja dan kakita­ngan ditarik oleh firma-firma lain setelah pekerja tersebut mempu­nyai kemahiran lebih tinggi.

Kebanyakan PKS menghadapi kesukaran untuk menarik serta mengekalkan pekerja kerana ganjaran yang ditawarkan adalah terlalu rendah dan kurang kompetitif.

Dalam masa sama, akses kepada pembiayaan dan pemasaran masih merupakan satu aspek paling mencabar kepada PKS di kebanyakan negara termasuk negara-negara berpendapatan tinggi. PKS juga kurang mempunyai pengetahuan dan sumber tenaga serta kewangan yang mencukupi.

Jumlah kapasiti yang rendah turut menghadkan kuasa tawar-menawar PKS dalam rantaian bekal­an dan menyebabkan kesukaran dalam mencapai skala ekonomi bagi pembelian bahan mentah.

Di samping itu, terdapat juga masalah untuk mematuhi peraturan-peraturan tertentu kerana kurangnya pemahaman dalam bidang pendaftaran perniagaan dan mendapatkan lesen dan permit.

Kos pematuhan yang tinggi juga merupakan satu daripada isu bagi PKS. Tidak kurang juga, terdapat undang-undang tertentu yang menghalang pembentukan perniagaan, perasmian syarikat dan pertumbuhan PKS seperti Undang-undang Muflis dan juga rejim cukai.

Bagaimana PKS mahu menyesuaikan diri dengan perubah­an landskap perniagaan pada masa depan terutama dengan tumpuan kepada ekonomi digital dan teknologi jika penggunaan inovasi masih lagi kurang?

Landskap perniagaan masa depan pastinya akan berubah terutama dengan trend perniagaan secara global termasuk Revo­lusi Industri 4.0 iaitu gabungan pendigitalan dan teknologi yang bakal membawa kepada pertumbuhan syarikat teknologi kewa­ngan, penganalisa data besar (Big Data Analytics) dan e-dagang serta integrasi serantau dan pembukaan pasaran.

Tambahan pula, dengan wujudnya cabaran ekonomi yang semakin meluas hasil daripada liberalisasi perdagangan termasuk pembentukan Komuniti Ekonomi ASEAN (AEC), PKS perlu bangkit untuk bersaing di pe­ringkat antarabangsa.

Di sebalik semua cabaran ini, terdapat pelbagai inisiatif dilaksanakan oleh SME Corp. bersama kerajaan untuk menyokong pembangunan PKS termasuk menerusi pelaksanaan Pelan Induk PKS dengan tumpuan bukan sahaja kepada perniagaan sedia ada tetapi menggalakkan pembentuk­an perniagaan melalui pembudayaan keusahawanan terutama dalam kalangan belia dan wanita.

Langkah ini bertujuan mening­katkan produktiviti PKS dengan menggalakkan peralihan ke arah automasi dan mekanisasi.

Apakah persediaan yang boleh dilakukan usahawan ini untuk menangani cabaran dan seterusnya mampu bersaing merebut peluang yang ada?

Nasihat saya kepada para usahawan, jangan sesekali berputus asa, sebaliknya perlu lebih berhati-hati dalam mengatur strategi perniagaan mereka.

Saya sentiasa mengingatkan kepada semua usahawan supaya mempersiapkan diri menghadapi apa jua kemungkinan dan kami di SME Corp. akan cuba membantu mereka sebaik mungkin. Bagi yang ingin memulakan perniagaan, pastikan anda betul-betul bersedia dan mengambil maklum tentang risiko yang anda ambil apabila berkecimpung di dalam dunia keusahawanan.

Terus-terang saya cakap, hakikatnya bukan mudah untuk menjadi seorang usahawan. Berniaga ini juga boleh dianggap seperti satu bakat dan paling penting harus bersedia menghadapi semua keadaan sama ada pada ketika waktu baik ataupun waktu buruk.

Jadi, seboleh-bolehnya, lengkapkan diri dengan ilmu perniagaan, bersedia untuk belajar, kenali produk yang ada di pasaran dengan sebaik-baiknya dan ikuti perkembangan semasa.

Jika anda mahukan bantuan, datanglah ke Pusat Rujukan Setempat di SME Corp. kerana kami boleh menyediakan maklumat lanjut berkenaan bantuan kerajaan di samping khidmat nasihat perniagaan secara percuma.

Tetapi, ingin saya tegaskan, kami hanya boleh membimbing dan membantu, namun tanpa keupayaan dan bakat, anda tidak akan ke mana-mana.

Kerajaan secara dasarnya menyediakan banyak bantuan kepada PKS, tetapi masih ada yang merungut. Tan Sri, di mana silapnya perkara ini?

Bagi saya, orang yang betul-betul berniaga akan tahu bahawa kerajaan menyediakan sebaik mungkin sokongan sama ada dari segi pasaran baharu atau usaha mempergiatkan syarikat ini supaya mampu berubah mengikut keadaan semasa seperti e-dagang.

Secara dasarnya, kerajaan menyediakan bantuan dari peringkat awal mereka memulakan perniagaan sehinggalah syarikat tersebut mampu berdiri kukuh dan seterusnya berupaya meneroka pasaran baharu.

Hakikatnya, kita tidak boleh memenuhi kehendak semua pihak dan pada masa sama, tidak semua orang boleh berjaya, kerana seperti yang saya jelaskan tadi, bukan mudah menjadi seorang usahawan.

Ini kerana orang yang berniaga perlu mempunyai daya tahan, sabar dan tidak boleh terlalu bergantung kepada pihak-pihak tertentu, justeru, saya melihat sikap adalah sangat penting jika mereka mahu berjaya.

Mengenai inisiatif ZPBD, adakah kita akan melihat seorang Jack Ma akan dilahirkan suatu hari nanti?

Sudah tentu harapan kita tinggi dan mahu melihat PKS tempatan mampu menjadi syarikat terunggul di dunia. Malah, pelaksanaan inisiatif ini juga adalah tepat pada masanya pada ketika negara mula beralih kepada teknologi digital.

Paling penting, ialah generasi baharu perlu merebut peluang ini dengan sebaik-baiknya. Zaman sudah banyak berubah dan sejujurnya, saya juga bimbang melihat keperluan masa depan ini, sama ada PKS kita bersedia atau tidak.

SME Corp., bagaimanapun akan terus membantu dan memberi sokongan supaya PKS tempatan boleh bersaing dalam pasaran yang semakin kompetitif.

Artikel Berkaitan
Video Pilihan
Artikel Lain