Peniaga termasuk ejen atau dropship berlumba-lumba menawarkan harga sesuatu produk dengan lebih murah dengan harapan akan mendapat lebih ramai pembeli.

Namun, tindakan tersebut meletakkan harga jauh lebih murah dan akan memberikan implikasi kepada perniagaan dalam tempoh jangka panjang.

Apa tidaknya, ada peniaga sanggup menjual produk pada harga hampir sama dengan harga kos sehingga menyebabkan margin keuntungan sangat sedikit.

Situasi itu sering sahaja berlaku di dalam dunia perniagaan dalam talian yang menawarkan pelbagai jenis produk yang sama, namun dengan jenama berbeza.

Justeru, peniaga, ejen atau dropship beranggapan mereka perlu berperang harga untuk memperoleh jualan paling banyak. Pada anggapan mereka, harga paling murah akan menarik perhatian pembeli.

Menurut usahawan dalam talian yang juga pakar motivasi keusahawanan, Mohd. Shubhi Abdul, sikap peniaga sedemikian sebenarnya satu mitos yang dipercayai golongan itu kerana mereka yakin pelanggan hanya akan memilih syarikat yang mampu menawarkan harga paling rendah sahaja.

“Jika pesaing letak harga RM100, usahawan ini akan letak harga RM90. Jika pesaing letak pula RM90, mereka lawan lagi dengan rendahkan pada RM80.

“Begitulah seterusnya yang mana akhirnya semua usahawan tawarkan percuma kepada pelanggan. Yang merana hanyalah peniaga dan untung hanya pelanggan.

“Jika perniagaan anda ‘bungkus’, pelanggan tidak akan bersedih dengan nasib anda, mereka cari kedai lain pula,” katanya kepada S2 baru-baru ini.

Mohd. Shubhi yang juga penulis blog panduan keusahawanan http://hidupringkas.com berkata, ada ramai usahawan yang berterusan terperangkap dalam keadaan melawan harga rendah itu. Ada yang bertahan bertahun-tahun, namun keadaan mereka seperti ‘hidup segan mati tak mahu’.

Katanya, perniagaan kecil terutama dalam dunia online pasti akan ‘kalah teruk’ dalam pertandingan melawan harga dengan syarikat besar dan gergasi kerana harga menjadi kelebihan mereka.

“Jadi, untuk pastikan perniagaan anda tidak dibuli teruk dan kalah, cara terbaik adalah jangan masuk pertandingan itu. Dalam erti lain, tidak perlu lawan harga.

“Percayalah, harga rendah supaya pelanggan datang ke kedai anda hanyalah mitos yang tidak selalu benar,” katanya.

Justeru katanya, bagi keluar daripada belenggu lawan harga itu, Mohd. Shubhi menasihatkan peniaga mengambil inisiatif seperti merangka strategi pemasaran bagi memastikan pelanggan terus membeli.

Antaranya, rangka tawaran yang tidak dilupakan pelanggan dan buat kejutan kepada mereka. Pelanggan secara tidak langsung akan menjadi ejen pemasaran terbaik kepada perniagaan yang mempunyai strategi pemasaran terbaik.

Langkah itu termasuklah perkara asas seperti sikap pekerja, kualiti produk, khidmat penghantaran dan bahasa komunikasi dengan pelanggan yang mampu menarik minat mereka untuk membeli.

Keadaan itu akan melahirkan pelanggan setia membeli dengan peniaga yang bijak walaupun harga produk ditawarkan sedikit mahal berbanding pesaing.