Ketua Bahagian Operasi Perniagaan PNS, Shamsudin Amir berkata, F&B mendominasi sebanyak 75 peratus daripada penyertaan usahawan BIT manakala bakinya terlibat dalam sektor peruncitan dan perkhidmatan.

Katanya, PNS menjangkakan jumlah penglibatan usahawan dalam program BIT akan terus meningkat pada masa akan datang dengan promosi berterusan yang dijalankan pihaknya.

“PNS juga akan terus melaksanakan misi mempromosikan BIT ke setiap negeri pada tahun depan serta mengambil bahagian dalam setiap pameran yang dianjurkan oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK),” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Beliau ditemui pada sesi lawatan sambil belajar usahawan BIT ke restoran PappaRich, Bandar Sri Damansara.

Yang turut hadir, Pengarah Sektor F&B PappaRich Malaysia, Ong Phoe Be dan pemegang francaisi PappaRich, Siti Mariam Abdullah.

Shamsudin berkata, sesi lawatan tersebut bertujuan memberikan pendedahan ilmu kepada usahawan-usahawan BIT PNS berhubung operasi sesebuah cawangan serta berkongsi kisah kejayaan PappaRich yang telah mencipta nama di peringkat antarabangsa.

“Selain itu lawatan ini secara tidak langsung dapat membantu peserta yang hadir berkongsi strategi dan matlamat sama dalam mengharungi kelangsungan perniagaan dalam situasi ketidaktentuan ekonomi.

“Ia juga merupakan jaringan strategik perniagaan bagi usahawan untuk mengembangkan perniagaan, mendapatkan pengetahuan serta bertukar-tukar pandangan,” katanya.

Sesi lawatan tersebut merupakan inisiatif PNS bagi melihat usahawan BIT menjadikan model perniagaan lain yang telah berjaya sebagai sumber inspirasi bagi pengembangan jenama masing-masing.