Pengerusi Gabem, Tan Seri Dr. Rahim Tamby Chik berkata, perusahaan kecil dan sederhana (PKS) perlu melakukan perubahan dalam ekonomi moden dengan menggunakan teknologi digital secara menyeluruh.

Katanya, peranti pintar dan media sosial mengubah dan mempengaruhi operasi perniagaan di negara ini dan di peringkat global sekaligus mampu merapatkan jurang ekonomi dengan kaum lain.

“Usahawan Bumiputera tidak lagi boleh bergantung kepada pendekatan tradisional malah mereka perlu peka dengan teknologi terutama dalam bidang pengeluaran, pembangunan produk, pembungkusan dan pemasaran.

“Perniagaan atas talian adalah lebih rendah kosnya hanya memerlukan Internet atau komputer riba, jadi ianya amat sesuai kepada usahawan yang tidak mempunyai modal besar untuk berniaga,” ujarnya ketika berucap dalam perasmian konvensyen itu.

Majlis konvensyen yang julung-julung kali diadakan itu dirasmikan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Dr. Salleh Said Keruak.

Menurut Dr. Rahim, sejarah telah membuktikan bahawa sesuatu kaum itu akan sentiasa ketinggalan jika gagal menguasai ekonomi.

“Golongan bumiputera menguasai ekonomi hanya 22 peratus sahaja dan itu tidak mencapai standard kita, justeru bumiputera mesti bangkit kembali untuk mengangkat martabat bumiputera dengan menguasai ekonomi negara,” ujarnya.

KIDB bertujuan membantu hala tuju negara melalui satu pelan tindakan bersepadu yang akan menjadi garis panduan kepada kerajaan dalam merangka dasar-dasar dan polisi Industri Digital Negara dengan mengambil kira kepentinhan Bumiputera itu dapat diwujudkan.

Pelan itu dijangka menjadi satu mekanisma bagi menggerakkkan ekonomi Bumiputera secara tersusu dan terancang dalam industri digital serta menghasilkan Bumiputera yang mampu bersaing secara aktif. - UTUSAN ONLINE