Program anjuran Perbadanan Kemajuan Kraftangan Malaysia itu bakal dirasmikan oleh isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor, esok di Panggung Sari Kompleks Kraf di sini.

Ketua Pengarahnya, Zuraida Mokhtar berkata, HKK memberi peluang kepada 400 usahawan kraf untuk mempromosikan hasil keluaran mereka kepada pengunjung dan akan menghimpunkan kira-kira 4,000 produk antaranya tekstil, hasil rimba, seramik serta logam.

“Pada tahun lalu HKK berjaya menghimpunkan 33,000 pengunjung dengan nilai jualan RM12.1 juta dan kita menyasarkan nilai jualan pada tahun ini boleh mencecah sehingga RM15 juta.

“Pada tahun ini kita mempunyai produk baharu iaitu batik madu tiga yang dibuat menggunakan tiga jenis acuan blok batik dan saya yakin produk itu akan mendapat permintaan yang menggalakkan kerana ia sangat unik,” katanya ketika ditemui di bilik pameran HKK di sini hari ini.

Jelasnya, HKK yang bertemakan Kraf Menjana Ekonomi memberi pengiktirafan kepada usahawan kraf tempatan atas usaha serta komitmen mereka dalam memba­ngun dan mengembangkan industri kraf kepada ekonomi negara.

“HKK merupakan platform kepada usahawan untuk bertemu dan mengetahui kehendak serta keperluan pengguna yang meminati produk kraf malah ia memberi peluang kepada usahawan untuk membina rangkaian baharu.

“Bagi menarik perhatian pe-langgan, usahawan kraf telah memodenkan produk mereka seiring dengan perkembangan semasa dan ada antara mereka yang berjaya memasarkan produk ke luar negara,” katanya.

Zuraidah berkata, antara tarikan terbaharu adalah pameran empat buah chalet berkonsepkan tradisional dari negeri Perak, Pahang, Terengganu dan Johor yang mempunyai ciri-ciri mesra alam.

“Turut diadakan, pameran produk kraf warisan berkonsepkan diorama dan artifak, demonstrasi kraf, pembuatan kuih tradisional, persembahan kebudayaan, pertandingan mencanting batik serta pertandingan memasak yang akan menggunakan belanga seramik,” katanya.