Pengerusi Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM), Datuk Seri Dr. Irmohizam Ibrahim berkata, tindakan itu diambil ekoran penurunan jumlah pendaratan ikan bermula bulan depan sehingga Mac ini.

Menurut beliau, enam jenis ikan tersebut ialah ikan kembung, ikan selar, ikan selayang, ikan pelaling, ikan bawal putih dan udang putih.

“Kita juga akan memastikan stok simpanan ikan sejuk beku mencapai 120 metrik tan untuk tiga bulan di bawah tiga persatuan nelayan termasuk Persatuan Nelayan Kebangsaan (Nekmat).

“Sehingga bulan ini, seba­nyak 268,041 metrik tan ikan juga diimport bagi memenuhi keperluan tempatan dan jumlahnya dijangka meningkat sebanyak 10 hingga 20 peratus dalam tempoh tiga bulan bermula bulan depan,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas melawat Ekspo Makanan Laut Malaysia (MySE) sempena Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agro Pelancongan (MAHA) 2016 di Taman Pameran Pertanian Malaysia Serdang (MAEPS), dekat sini hari ini.

Irmohizam menasihatkan rakyat supaya tidak panik kerana kerajaan akan memastikan bekalan ikan cukup sepanjang musim tersebut.

“Mereka boleh mendapatkan bekalan ikan segar dan ikan sejuk beku di pasar-pasar tani.

“Kami juga berharap tiada spekulasi dibuat kerana kerajaan sudah mengambil tindakan intervensi bagi mengawal bekalan ikan,” katanya.