Menurut Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Tan Sri Dr. Mohd. Irwan Serigar Abdullah, pelbagai program akan dilaksanakan bagi menyediakan persekitaran yang menyokong kepada perkembang­an startup di negara ini.

Malah katanya, sebuah program juga akan diwujudkan termasuk di Sarawak dengan mewujudkan perbandaran ke­usahawanan bagi mengumpul usahawan-usahawan muda di dalam satu kawasan bagi tujuan percambahan idea dan aktiviti.

“Tahun depan akan menjadi tahun startup. Sepanjang tahun depan kami akan mempromosikan ekosistem startup dan banyak program akan dilaksanakan,” katanya semasa menyampaikan ucapan penutup penganjuran

Komuniti Keusahawanan Global (GECommunity) dan Kemuncak Tahun Pengkomersialan Malaysia 2016 di sini hari ini.

Program tersebut yang diadakan selama dua hari itu bermula semalam dirasmikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan lebih 3,000 peserta dari lebih 60 buah negara menyertai program itu.

Dalam pada itu, Mohd. Irwan Serigar berkata, perkembangan startup serta inovasi di negara ini adalah penting kerana ia akan mencipta permintaan dan menggalakkan perdagangan.

Beliau juga berkata, selaku antara penganjur GECommunity, Kementerian Kewangan sedia mengeksport program tersebut ke negara-negara lain dengan harapan ia mampu mencipta minat terhadap pembangunan startup serta inovasi.

“Inovasi sangat penting kerana ia mencipta permintaan dan perdagangan. Berdasarkan data-data daripada pelbagai badan antarabangsa, rantau ini akan menjadi penyumbang utama pertumbuhan ekonomi dunia,” katanya.