MoU ditandatangani oleh Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Lafarge Malaysia, Thierry Legrand dan Presiden REAM, Datuk’ Ir. Haji Adanan bin Mohamed Hussain di majlis pelancaran siri seminar REAM-Lafarge Building Better Roads hari ini.

Seminar ini menampilkan para penceramah yang terdiri daripada pakar jalan antarabangsa dan tempatan, termasuk seorang pakar bidang prasarana dari Pusat Penyelidikan LafargeHolcim di Lyon Perancis, iaitu pusat penyelidikan bahan bangunan yang terbesar di dunia.

Legrand berkata, “Seminar sehari itu adalah yang pertama daripada siri yang dirancang dengan tujuan untuk meningkatkan piawaian pembinaan dan menyumbang ke arah membina jalan raya yang lebih baik di Malaysia.

“Kita dapat memanfaatkan rangkaian para pakar global kami untuk mengambil bahagian dalam  pertukaran pengetahuan untuk berkongsi inovasi dan amalan terbaik global bagi pembinaan jalan untuk manfaat industri pembinaan jalan di Malaysia secara amnya, dan pengguna jalan raya di Malaysia secara khususnya.”

Sempena dengan MOU ini, Lafarge turut memperkenalkan ProsolutionsSmart Infra, penyelesaian dengan kos yang berkesan untuk membina jalan yang lebih terhubung. Penyelesaian serba lengkap ini menggunakan bahan-bahan mentah tempatan, lebih tahan lama dan tidak memerlukan penyelenggaraan yang banyak berbanding kaedah pembinaan jalan konvensional.

Sebelum ini, Lafarge telah bekerjasama dengan Jabatan Kerja Raya (JKR) dalam dua buah projek induk – pertama, membina jalan Roller Compacted Concrete (RCC) di Jerlun Kedah, dan yang kedua, membina jalan menggunakan kaedah Cold In-place Recycling (CIPR) di Rawang. 

Datuk Ir. Haji Adanan berkata, “Kejayaan menyiapkan projek-projek ini memberikan kita gambaran tentang kepakaran dan pengalaman Lafarge Malaysia ke arah penyelesaian yang berdaya maju untuk pembinaan infrastruktur jalan raya yang lebih berkesan.” 

RCC merupakan penyelesaian jalan konkrit luar bandar yang lebih lasak dan tidak memerlukan penyelenggaraan yang banyak. Bukti menunjukkan bahawa dalam tempoh 20 tahun, kos pembinaan permulaan dan penyelenggaraan jalan RCC adalah 50% lebih murah berbanding jalan asfalt biasa. Kaedah CIPR, sebaliknya, 
mengitar semula bahan-bahan jalan sedia ada dengan mencampurkannya bersama bahan bersimen sebagai sub-asas, dan menjadikan jalan raya lebih kukuh dan lebih tahan lama.

Seramai 200 orang peserta yang terdiri daripada para pembuat dasar, syarikat konsesi jalan raya, kontraktor jalan, perunding, jurutera perladangan, pemaju hartanah, ahli akademik, dan penyelidik, menghadiri seminar itu.