Ketua Menteri, Datuk Seri Idris Haron berkata, Kawasan Perindustrian Lipat Kajang akan dimajukan dengan pembinaan sebuah kilang gentian kaca terbesar milik sebuah syarikat dari China, Xingyi Glasses yang pertama di Asia Tenggara.

Beliau berkata, kerajaan negeri menerima tawaran daripada pelbagai pihak yang ingin menjadikan Melaka sebagai destinasi pelaburan mereka.

"Untuk itu kita menyediakan dua kawasan di Melaka iaitu di Lipat Kajang dan Teluk Gong. Sebuah kilang gentian kaca yang menghasilkan cermin untuk kenderaan mewah dan telefon bimbit akan dibina di Lipat Kajang, satu-satunya kilang milik Xingyi Glasses yang dibuat di luar China dan pasarannya adalah negara ASEAN.

"Di Kawasan Perindustrian Masjid Tanah pula, kita akan majukan semula kawasan itu yang sudah terbantut agak sekian lama iaitu kira-kira 25 tahun. Selain itu, kita akan tumpu kepada usaha menjadi pusat pembangunan dan pengembangan perahu terbang di Teluk Gong," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas menutup seminar bertajuk ‘Membangun Bersama Kami’ anjuran Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) dan Malaysian Industrial Development Finance Berhad (MIDF) di sini semalam.

Yang turut hadir, Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Perancangan Ekonomi, Pelaburan dan Perindustrian negeri, Sulaiman Md. Ali dan Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif MIDA, Datuk N. Rajendran.

Seminar sehari itu menghimpunkan 150 peserta terdiri daripada pengusaha industri kecil dan sederhana (IKS) untuk mendengar pembentangan daripada tiga wakil syarikat berjaya yang beroperasi di negeri ini iaitu Honda Malaysia Sdn. Bhd., Infineon Technologies (M) Sdn. Bhd. dan Mamee Double Decker (M) Sdn. Bhd.

Idris berkata, dalam tempoh sembilan bulan pertama tahun lepas, Melaka mencatatkan pelaburan berjumlah RM4.4 bilion dalam sektor pembuatan dengan RM2.6 bilion pelaburan domestik dan bakinya, RM1.8 bilion pelaburan asing.

Katanya, jumlah RM4.4 bilion itu amat memuaskan bagi Melaka kerana mencatat angka pelaburan terbaik setakat ini, setanding dengan tahun 1995 apabila Petronas membangunkan kilang penapisan mereka di Sungai Udang.

"Kami menyasarkan RM5 bilion untuk seluruh tahun 2014 dan untuk tahun ini pula, kerajaan negeri turut menyasarkan nilai pelaburan dalam jumlah yang sama. Angka itu tidak akan ditambah kerana bukan melibatkan perancangan masa setahun dua.

"Ini belum termasuk pelaburan dalam tempoh singkat (flash proposal) apabila kita turut menerima pelawaan untuk membuka sebuah hotel antarabangsa Ibis Hotel dan Auction House yang dalam perancangan pembinaan di pusat bandar raya ini tidak lama lagi," katanya.