MAS dalam kenyataan berkata, sebagai sebuah syarikat penerbangan antarabangsa, pihaknya menyediakan perkhidmatan penerbangan ke destinasi antarabangsa yang terdiri daripada pelbagai jenis penumpang. 

“Dalam iklan majalah, Going Places edisi Januari lalu memaparkan restoran yang menyediakan pelbagai jenis masakan sebagai sebahagian daripada menu mereka. 

“Foto itu mempamerkan potongan daging lembu wagyu dan juga sotong. Seperti mana majalah gaya hidup lain, ulasan restoran itu adalah untuk mempromosikan kedai makan kepada penumpang daripada seluruh dunia. Malaysia adalah sebuah negara yang terdiri daripada pelbagai bangsa dan ulasan itu langsung tidak berniat untuk menyinggung perasaan mana-mana penumpang,” katanya di sini hari ini.   

Iklan mempromosi makanan dan gambar yang didakwa daging babi itu diterbitkan dalam majalah tersebut menjadi tular dalam media sosial sehingga mendapat bantahan daripada pelbagai pihak termasuk Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) hari ini. - UTUSAN ONLINE