MUKESH DHAWAN

Pengurus Besar Insurans Hayat Zurich Insurance Malaysia Bhd, Mukesh Dhawan berkata, daripada 55 peratus kadar penembusan insurans di Malaysia, hanya 15 peratus adalah segmen takaful, sementara baki 40 peratus daripada insurans hayat.

“Tahap kesedaran terhadap segmen takaful adalah rendah dan mengikut populasi Malaysia seramai 31 juta penduduk, negara ini memerlukan usaha mempromosi segmen itu hingga lima kali ganda lebih besar,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini baru-baru ini.

Mukesh berkata, sehubungan itu Zurich Malaysia akan memberi latihan dan bimbingan kepada seramai 4,500 ejen Zurich Insurance bagi melengkapkan mereka dengan keupayaan untuk menampung dan membantu seramai 6,000 ejen sedia ada dibawah Zurich Takaful.

Selain itu jelasnya, sebanyak 19 cawangan yang menawarkan perkhidmatan insurans hayat akan dimaksimumkan untuk turut menawarkan produk takaful sebagai tambahan kepada 13 cawangan sedia ada menjadikan keseluruhannya 32 cawangan.

“Kami berhasrat mengembangkan segmen ini kepada dua digit pada tahun ini. Selain ejen dan cawangan, kami juga akan terus memperkenalkan produk mampu milik yang kompetetif dan berkualiti sebagai pemacu pertumbuhan.

“Buat ketika ini, Zurich Takaful mempunyai seramai 400,000 pe­langgan dengan anggaran 4,500 pelanggan baharu setiap bulan. Menerusi rancangan liputan yang lebih meluas, kami percaya angka tersebut akan meningkat,” kata beliau.

Inisiatif itu adalah selari de­ngan hasrat Bank Negara Malaysia (BNM) untuk meliberalisasikan sektor insurans dan takaful dalam menangani jurang perlin­dungan di negara ini dan mening­katkan kadar penembusan kepada 75 peratus menjelang 2020.