Pengurus Besar ZF, Glenn Todd berkata, pembukaan cawangan baharu itu yang melibatkan kos RM48 juta merupakan kilang kedua milik syarikat berkenaan selepas dibuka di Kulim, Kedah kira-kira lima tahun lalu.

Katanya, kilang kedua itu bukti pertumbuhan pesat syarikat tersebut di rantau ini sekali gus menyer­l­ahkan kepentingan operasi di negara ini sebagai faktor pe­nyumbang ke arah kejayaan dan pertumbuhan ZF di peringkat global.

“Kilang di Pekan ini akan me­lakukan pengeluaran casis me­rangkumi sistem gandar depan dan belakang bagi jenama besar dalam industri automotif di negara ini iaitu Mercedes-Benz Malaysia Sdn. Bhd. (MBM).

“Dengan kawasan seluas lebih dari 13,000 meter persegi, kilang baharu di Pekan ini dijangka meningkatkan kapasiti pengeluaran sistem ZF di negara ini,” katanya dalam sidang akhbar selepas majlis perasmian kilang itu yang disempurnakan oleh Pengerusi Jawatankuasa Sains, Teknologi Hijau, Komunikasi dan Multimedia negeri, Datuk Mohammad Fakhruddin Mohd. Ariff di sini hari ini.

Yang hadir sama Ketua Sistem Casis BU dan Naib Presiden Kanan, Carlos Delich dan Ketua Sistem Casis BU bagi Serantau, Asia Tenggara, India dan Pasifik, Thinus Steyn.

Menurut Todd, daerah ini dipilih sebagai lokasi pengeluaran kedua ekoran terletak berdekatan kilang pemasangan MBM dan kemudahan prasarana yang lengkap.

“Dengan kira-kira 60 kakitangan, fasiliti baharu ini membolehkan kami menyampaikan produk terbaik dengan standard dan kualiti lebih tinggi sejajar dengan prinsip kami iaitu ‘di rantau ini, untuk rantau ini’.

“Pada masa ini, kami mengeluarkan kira-kira 10,000 unit setahun bagi keperluan industri automotif tempatan. Dengan pelancaran fasiliti baharu ini, kami menyasarkan untuk me­ningkatkan pengeluaran seba­nyak 100 peratus,” katanya.