Bercakap dalam sidang akhbar pertamanya sebagai Pengerusi PNB, Zeti berkata, transformasi tersebut akan melibatkan organisasi itu sendiri dan mempelbagaikan pelaburan dana.

Katanya, PNB perlu meningkatkan keupayaan dalam pengurusan risiko dan menyusun strategi persediaan masa hadapan susulan persekitaran ekonomi di luar kawalan.

Beliau juga menegaskan bahawa transformasi organisasi adalah penting untuk mencapai tahap prestasi yang lebih tinggi.

“Sepanjang tempoh saya sebagai gabenor, BNM melakukan perubahan organisasi dan kami sangat bercita-cita tinggi untuk berada di barisan hadapan bank pusat itu.

“Oleh itu, saya akan turut mengekalkan semangat yang tinggi bersama PNB,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan ASN Equity 5 dan ASN Sara 2 di sini hari ini.

Yang turut hadir, Ketua Eksekutif Kumpulan PNB, Datuk Abdul Rahman Ahmad.

Dalam majlis sama, PNB mengumumkan prestasi kewangan yang positif bagi tempoh berakhir 31 Ogos 2018 dengan jumlah aset di bawah pengurusan (AUM) meningkat sebanyak 7.3 peratus kepada RM288.1 bilion berbanding tahun lalu.

Pendapatan bersih PNB yang disatukan meningkat sebanyak 2.6 peratus kepada RM10.3 bilion.

PNB telah mencapai prestasi yang menggalakkan, memandangkan persekitaran pasaran global dan domestik yang mencabar justeru akan terus kekal berdaya saing dalam pengurusan portfolio pelaburannya.