Menurutnya, beliau bersyukur kerana diberi kesempatan untuk menggalas semula tanggungjawabnya dan mahu memberikan sepenuh perhatian kepada pengurusan FGV.

“Saya bersyukur, semuanya te­lah selesai dan nama saya berjaya dibersihkan daripada tuduhan tersebut. Kini saya perlu memberikan sepenuh perhatian untuk memastikan nama FGV te­rus me­lonjak.

“Perkara itu sudah berlalu dan saya perlu terus melangkah termasuk memikirkan cara untuk menaikkan nama syarikat,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini baru-baru ini.

Zakaria digantung tugas pada Jun lalu bagi membolehkan pa­sukan audit dalaman menjalankan siasatan berhubung dakwaan penyelewengan antaranya melibatkan urus niaga antara Safitex dan Delima Oil Products Sdn. Bhd. yang bernilai jutaan ringgit.

Beliau menyambung semula tugasannya pada 16 Oktober selepas siasatan dalaman berhubung penyelewengan membabitkan urusan de­ngan satu da­ripada anak syarikat FGV iaitu Safitex selesai.

Ketibaan Zakaria pada 16 Oktober lalu telah disambut oleh beberapa pengurusan kanan FGV termasuk Ketua Pe­gawai Operasi; Datuk Khairil Anuar Aziz serta Ketua Pe­gawai Kewangan Kumpulan, Ahmad Tifli Mohd. Talha.

Mereka turut mengadakan bacaan doa sebagai tanda kesyu­kuran.

Zakaria menjelaskan, beliau percaya FGV mampu berada di tahap yang lebih membanggakan dengan adanya kepimpinan yang baharu.

“FGV sebuah syarikat yang sangat berpotensi dan saya yakin kepimpinan baharu mampu menjadikannya sebuah syarikat yang disegani,” katanya.