Ketua Pegawai Pemasaran Celcom, Zalman Aefendy Zainal Abidin berkata, disokong oleh rangkaian Lightning Fast LTE Celcom, pelanggan Xpax berpeluang menikmati penstriman muzik tanpa had tanpa menjejaskan kuota dengan Music Walla dari serendah RM3 sebulan.

Jelasnya, Video Walla pula menawarkan 10GB kuota penstriman video dengan hanya RM7 seminggu, sekali gus pengguna berpeluang menikmati video pada bila-bila masa dan di mana-mana sahaja mereka berada.

“Xpax akan menawarkan kandungan muzik serta video terkini dan popular secara berterusan, selain rangkaian Lightning Fast LTE Celcom akan memberikan pengalaman hiburan digital terbaik kepada para pelanggan.

“Celcom komited memastikan kehendak pelanggan dapat dipenuhi, justeru pengenalan kedua-dua produk ini akan memberikan pengalaman hiburan tanpa sebarang kerisauan kehabisan kuota data,” katanya pada majlis pelancaran produk terbabit di sini semalam.

Yang turut hadir Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif, Operasi Perniagaan Celcom, Azwan Khan Osman Khan.

Music Walla membawakan kandungan muzik daripada JOOX, Raku, KKBOX, Hungama Music dan lebih 30 stesen radio tempatan, sementara Video Walla pula kandungan hiburan YouTube, iflix, Netflix, Tonton, Astro GO, dimsum, HeroTalkies, MOX Digital, Metro TV dan DailyMotion.

Menurut Zalman Aefendy, pelanggan Xpax berpeluang melanggan produk Music Walla dan Video Walla tersebut melalui aplikasi Xpax atau kod USSD *118#.

Tambah beliau, Walla ber­asal daripada perkataan Pe­rancis, ‘voila’ yang membawa maksud ‘ini dia!’ iaitu hebat, bagus dan terbaik yang sering digunakan dalam kalangan belia ketika ini.