Pengarah Negara Malaysia dan Singapura Xiaomi, Allen An berkata, Mi A2 hadir dengan dua pilihan iaitu 4GB RAM 64GB storan berharga RM999 dan 6GB RAM 128GB storan berharga RM1,199 akan mula dijual Jumaat ini.

Sementara itu kata beliau, Mi A2 Lite pula ditawarkan dalam satu varian sahaja dan pengguna perlu menunggu lebih lama untuk membeli kerana ia hanya mula dijual di pasaran tempatan pada 18 Ogos ini.

“Mi A2 ini akan membantu Xia­omi menembusi segmen pasaran telefon pintar dengan menawarkan teknologi terbaharu bersama produk mampu milik, ia akan menjadi pilihan yang terbaik kepada pengguna.

“Pada ketika ini, pengguna utama Xiaomi adalah lelaki, jadi Mi A2 ini diharap dapat menarik minat lebih ramai perempuan menerusi reka bentuknya yang ringan dan kameranya yang berkuasa,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam taklimat media eksklusif berkenaan siri telefon pintar baharu itu di sini hari ini.

Xiaomi Mi A2 membuat kemunculan di pe­ringkat global di Madrid, Sepanyol minggu lalu dan seperti yang dijanjikan Malaysia menjadi antara negara yang terawal untuk memperlihatkan telefon baharu itu.

Mi A2 dilengkapi dengan skrin 5.99 inci, cip Snapdragon 660, dwi-kamera belakang 20 megapixel (MP) dan 12MP, kamera hadapan 20MP, bateri berkapasiti 3,000mAh, se­lain pengecas berasaskan USB-C.

Sementara itu, Mi A2 Lite pula hadir dengan skrin 5.84 inci, cip Snapdragon 624, memori 3GB RAM, storan 32GB, dwi-kamera belakang 12MP dan 5MP, kamera hadapan 5MP serta bateri berkapasiti 4,000mAh.