Pengarah Urusan Kumpulan Westport, Datuk Ruben Emir Gnanalingam (gambar) berkata, industri perkapalan berdepan cabaran pada tahun sebelumnya terutama dengan pembentukan pakatan global serta penggabu­ngan dan pengambilalihan dalam kalangan pemain industri.

“Perubahan ini telah menjejaskan jumlah penghantaran Westports, tetapi kami berjaya beralih ke perkhidmatan baharu di bawah Perikatan Lautan,” jelas beliau dalam makluman kepada Bursa Malaysia di sini hari ini.

Westports melaporkan pendapatan berjumlah RM394.03 juta bagi tempoh sama, menurun 21.4 peratus daripada RM501.44 juta tahun lepas.

Menurut Ruben, Westports mengendalikan kontena seba­nyak 4.5 juta unit bersamaan kontena 20 kaki (TEU), mening­kat 20 peratus tahun ke tahun, mencerminkan aktiviti ekonomi domestik yang menggalakkan.

Mengulas mengenai pengembangan katanya, penyiapan Terminal Kontena 8 (CT8) dan Terminal Kontena 9 (CT9) pada 2017 telah meningkatkan kapasiti pengendalian kontena Westports kepada 14 juta TEU setahun.

“Kapasiti tambahan kini menampung kapal kontena besar lebih daripada 20,000 TEU yang berlabuh di Westports dan terus me­ng­ukuhkan Pelabuhan Klang sebagai pelabuhan utama bagi pintu masuk perdagangan nega­ra, selain menjadi hab penghantaran utama di rantau ini.

“Westports turut mencadangkan pengembangan untuk meningkatkan kapasiti pengendalian terminal hingga dua kali ganda bagi membangunkan ekonomi serta keperluan dagangan,” katanya.

Sementara itu, Ruben berkata, perang dagangan antara negara ekonomi utama dunia menerusi pelaksanaan tarif berkemungkinan menjejaskan aliran perdagangan di peringkat global.

“Bagaimanapun, selepas beberapa gangguan awal, keseimbangan baharu akan muncul dan perdagangan antara negara terba­bit akan masih menjadi paradigma pilihan untuk pertumbuhan,” jelas beliau.