Pengarah Eksekutif Wasiyyah Shoppe, Ariffin Sabirin berkata, perjanjian selama tiga tahun itu akan memberikan Wasiyyah Shoppe hak eksklusif untuk bergerak ke seluruh Perak bagi menjalankan aktiviti kesedaran harta pusaka dan hibah kepada orang ramai.

Ariffin memberitahu, Wasiyyah Shoppe menjangkakan seramai 50,000 orang Islam di negeri itu akan dibantu untuk menyediakan dokumen hibah mereka sepanjang tempoh perjanjian tersebut.

“Wasiyyah Shoppe akan bergerak dan menjalankan aktiviti kesedaran harta pusaka dengan keutamaan kepada hibah hartanah dan hibah saham syarikat menerusi ceramah dan juga klinik bagi membantu rakyat Pe­rak mendapat maklumat dengan lebih tepat tentang hibah.

“Seperti titah Sultan Perak, projek ini adalah untuk memberikan kesedaran berkaitan isu-isu harta pusaka, maklumat tentang bagaimana hibah membantu pewarisan harta dengan lebih cepat dan cekap, menyediakan dokumen hibah patuh syariah serta menyelesaikan kes-kes pusaka tertunggak,” katanya dalam kenya­taan di sini hari ini.

Perjanjian itu ditandatangani oleh Ariffin sendiri mewakili Wasiyyah Shoppe manakala Ketua Pegawai Eksekutif MAIPk, Datuk Dr. Amiruddin Muhamed mewakili MAIPk, sambil disaksikan Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif MAIPk, Wan Maizura Wan Zahari dan Pengarah Eksekutif Wasiyyah Shoppe, Azrin Sabirin.

Di dalam majlis sama, Sultan Perak turut berkenan melancarkan secara rasmi Gerakan Ke­sedaran Hibah Perak.

Baginda turut bertitah, nilai harta pusaka yang dibekukan terutama yang gagal diwarisi dengan sempurna adalah satu kerugian besar dari segi ekonomi kepada orang Islam kerana ia tidak boleh digembleng bagi menghasilkan pendapatan seterusnya.

Harapan baginda adalah, inisiatif gerakan itu akan dapat membantu mencegah masalah harta pusaka yang dibekukan pada masa depan.