Itu keluhan Pengerusi Persatuan Pemaju Hartanah dan Perumahan Negeri Sembilan, Jenny Wang Lee Peng dalam sidang akhbar sempena Ekspo Perumahan dan Hartanah Bumiputera (Bumi Mapex) di Se­remban, baru-baru ini.

Dakwa beliau, harga dan lokasi merupakan antara faktor yang menyebabkan unit bumiputera tidak berjaya dijual. Sehubungan itu, beliau berharap kerajaan memper­kenalkan satu ‘auto mekanisme’ bagi pelepasan unit hartanah bumiputera yang tidak berjaya dijual.

Ketika pihak persatuan re­sah akibat gagal menjual unit-unit untuk bumiputera, pemaju-pemaju hartanah sebaliknya dilihat terus ghairah memba­ngunkan hartanah-hartanah me­­­wah terutama di kawasan dianggap strategik.

Sebagai contoh, sebuah sya­rikat pemaju dilaporkan berhasrat membangunkan har­tanah mewah berharga bermula RM1.7 juta sebuah di ibu negara.

Bukan hanya pemaju swasta yang pastinya lebih memikirkan keuntungan, syarikat milik sebuah kerajaan negeri yang sepatutnya lebih berperanan membantu pemilikan rumah dalam kalangan rakyat khususnya bumiputera, turut tidak melepaskan peluang mempromosikan projek-projek harta­nah mewah dan separuh mewah.

Antara kediaman mewah yang ditawarkan ialah banglo eksklusif tiga tingkat dengan harga daripada RM3.58 juta iaitu harga bumiputera selepas diskaun dan rumah berkembar eksklusif tiga tingkat daripada RM2.976 juta, juga harga bumiputera selepas diskaun.

Melihat kepada tawaran-tawaran tersebut, pasti terlintas dalam fikiran kita kaya-rayanya orang-orang Malaysia termasuk bumiputera sehingga syarikat-syarikat hartanah tanpa rasa ragu-ragu menawarkan kediaman seumpama itu.

Ada baiknya pihak Rehda dan ahli-ahlinya serta syarikat-syarikat milik kerajaan negeri yang terlibat membangunkan hartanah untuk rakyat, memikirkan dengan mendalam nasihat Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi sebelum ini, yang menyarankan agar mereka mengambil kira kemampuan sebenar rakyat dalam menentukan harga rumah hendak dijual.

Janganlah kos bahan binaan meningkat terus-menerus dijadikan alasan untuk menaikkan harga sesebuah hartanah. Benar, pembeli khususnya go­longan berpendapatan rendah dan sederhana akan melihat lokasi dan harga sebagai faktor utama sebelum membeli hartanah.

Apa guna membeli rumah di luar Kuala Lumpur yang dianggap lebih mampu milik, sedangkan mereka setiap hari ‘berjuang’ untuk ke tempat kerja. Dengan peningkatan terus menerus kos hidup, memiliki rumah mampu milik jauh dari tempat kerja sebenar tidak berbaloi.

Selain itu, adakah hanya flat, pangsapuri berpuluh-puluh tingkat yang layak untuk pembeli dalam kategori rendah dan sederhana khususnya dalam kalangan bumiputera?

Untuk itu, pemaju perlu menghayati dengan mendalam maksud di sebalik saranan Timbalan Perdana Menteri yang juga nasihat sebenarnya kepada pemaju.

Janganlah nanti kerajaan perlu campur tangan untuk memastikan setiap rakyat memiliki kediaman yang selesa kerana pelepasan unit hartanah bumiputera bukanlah jalan penyelesaian yang sebenar.