PNB dalam masa yang sama turut mengumumkan bahawa Tan Sri Dr. Zeti akan dilantik sebagai Pengerusi Kumpulan PNB berkuat kuasa 1 Julai 2018.

Lembaga Pengarah PNB juga mengumumkan bahawa Datuk Dr. Awang Adek Hussin akan bersara sebagai Pengarah PNB dan Pengerusi PNB Research Institute Sdn. Bhd. berkuat kuasa 30 Jun 2018.

Katanya, Lembaga Pengarah PNB berterima kasih kepada Abdul Wahid atas sumbangan yang tidak ternilai dan khidmat penuh dedikasi sebagai Pengerusi Kumpulan PNB.

“PNB menghargai kepimpinan Abdul Wa­hid dan bimbingan yang telah diberikan oleh beliau kepada Lembaga Pengarah dan Pihak Pengurusan PNB serta syarikat-syarikat pe­laburannya sejak pe­lan­tikan beliau pada Ogos 2016.

“Semasa beliau di PNB, Abdul Wahid telah mengukir pelan hala tuju untuk PNB demi mencapai tiga amanah mandat yang komprehensif, menghasilkan pulangan yang mampan dan lebih baik untuk portfolio PNB, meningkatkan kekayaan dan penyertaan ekonomi bumiputera dan me­nya­lurkan sebahagian daripada keuntungan PNB kepada inisiatif-inisiatif yang menyampaikan impak sosial kepada masyarakat,” kata­nya dalam kenyataan di sini hari ini.

YPB hari ini mengumumkan bahawa Menteri Kewangan Diperbadankan telah memaklumkan bahawa Perdana Menteri Tun Dr. Mahathir Mohamad telah mengambil alih jawatan Pengerusi YPB berkuat kuasa 28 Jun 2018.

Lanjutan daripada pelantikan itu, komposisi Lembaga Pemegang Amanah YPB telah diubah untuk merangkumi Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali yang juga dilantik sebagai Pengerusi Alternatif YPB, Zeti dan bekas Ketua Audit Negara Malaysia, Tan Sri Ambrin Buang.

Lembaga Pengarah YPB dan PNB mengalu-alukan pelantikan Zeti dan yakin dengan pengalaman beliau yang meluas akan te­rus memberikan kepimpinan yang kukuh kepada Kumpulan PNB dalam memperkasakan kekayaan korporat demi manfaat rakyat Malaysia.