Majalah itu memaparkan lima muka surat mengenai kerjaya cemerlang Abdul Wahid dalam sektor korporat sebelum menyertai kerajaan, selain aspirasi dan pencapaian beliau.

Abdul Wahid kemudiannya kembali ke dunia korporat sebagai Pengerusi Permodalan Nasional Bhd. (PNB) sebaik sahaja tempoh jawatan senatornya tamat tahun lepas.

Beliau yang merupakan seorang akauntan, menerajui Malayan Banking Bhd. (Maybank) sebagai presiden dan ketua pegawai eksekutif mulai 2008 hingga 2013, selepas mengetuai penstrukturan semula Telekom Malaysia dan UEM Group.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak kemudian mengambil beliau untuk jawatan dalam kabinet Malaysia.

Abdul Wahid yang dilantik sebagai Menteri di Jabatan Perdana Menteri telah menyelaraskan beberapa agensi kerajaan seperti Unit Perancang Ekonomi, Unit Kerjasama Awam Swasta Malaysia, Jabatan Perangkaan, Ekuiti Nasional Bhd., Talent Corporation, Unit Peneraju Agenda Bumiputera dan Yayasan Pendidikan Peneraju Bumiputera.

Ketika dihubungi Bernama, beliau berkata: “Alhamdulillah, ini me­rupakan suatu penghormatan buat seorang akauntan dari Malaysia. Terima kasih atas sokongan rakan-rakan semua selama ini. Saya berjanji akan terus menjalankan tugas dan amanah semampu saya untuk PNB dan Negaraku Malaysia.”

ICAEW ditubuhkan melalui Piagam Diraja pada 1880, merupakan pertubuhan keahlian profesional terkemuka dunia yang menggalak, membangunkan dan menyokong lebih 147,000 anggota di seluruh dunia. Daripada jumlah itu, lebih 15,000 anggotanya tinggal dan bekerja di luar United Kingdom.

Sementara itu, Abdul Wahid dalam temu bual berkenaan me­nyarankan supaya golongan profesional yang berjaya di luar negara kembali berkhidmat di Malaysia bagi membantu pertumbuhan ekonomi negara yang mapan.

Beliau berkata, meskipun Malaysia berdepan kekurangan tenaga kerja mahir bagi sesetengah industri, terdapat inisiatif untuk memanggil mereka pulang ber­khidmat ke tanah air.

Beliau sendiri katanya, telah diberikan biasiswa untuk me­lanjutkan pelajaran dan kembali semula kerana terhutang budi kepada negara ini dan merasakan ia adalah masanya berbakti kepada masyarakat.

“Pada waktu itu, saya tidak terfikir untuk meninggalkan Maybank tetapi Perdana Menteri sedang mencari calon yang memiliki perspektif sektor swasta bagi membantu kerajaan membangunkan ekonomi dalam jangka masa sederhana dan panjang, termasuk mengurangkan defisit.

“Ia merupakan satu penghormatan apabila dijemput untuk menyertai badan pembuat keputusan yang tertinggi di negara ini dan menjadi menteri Kabinet penuh tanpa bertanding dalam pilihan raya,” katanya dalam temu bual bersama majalah itu.