Tahukah anda jika menaiki Keretapi Tanah Melayu (KTM) Komuter dari lokasi yang sama ia boleh mengambil masa 1 jam untuk sampai.

Inilah yang berlaku ketika penulis menaiki KTM komuter untuk ke Rawang pada Janua­ri lalu untuk menyelesaikan satu tugasan. Perjalanan yang sangat menjerihkan dan membosankan. Itu belum mengambil kira waktu tren tiba yang seringkali lewat.

Ketika Malaysia menga­la­mi transformasi pengangkutan yang lebih cekap, efisien dan canggih yang setaraf dengan negara maju, terdapat juga perkhidmatan pengangkutan awam yang masih di takuk lama. Amat menyedihkan sebenarnya.

Kerajaan dalam usaha mentransformasikan pengangkutan awam telah merangka beberapa projek mega seperti MRT3 yang dijangka siap pada Disember 2025 membabitkan laluan sepanjang 40 km meng­hubungkan stesen Transit Ali­ran Ringan (LRT), KTM Komuter, KL Monorel serta jajaran MRT1 dan MRT2 untuk kawasan Greater KL.

MRT1 laluan Sungai Buloh-Kajang (SBK) pula telah ber­operasi pada Julai 2017 manakala MRT2 laluan Sungai Buloh-Serdang-Putrajaya (SSP) dijangka siap menjelang 2022.

Satu lagi projek mega yang menjadikan Malaysia setaraf negara maju adalah projek Rel Berkelajuan Tinggi (HSR) yang menghubungkan Singapura dan Kuala Lumpur. Dengarnya ia mengambil masa 1 jam 30 minit sahaja untuk perjalanan sejauh 350 kilometer.

Tetapi tahukah anda jika menggunakan KTM Komuter dengan membandingkan waktu perjalanan yang sama, ia boleh mencecah 1 jam 32 minit untuk anda sampai ke Tanjung Malim dari KL Sentral. Jarak antara kedua-dua lokasi itu jika menggunakan Lebuh Raya Utara Selatan lebih kurang 80.6 km.

Itu belum mengambil kira projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) sepanjang 688 km yang difahamkan mengambil masa empat jam dari Selangor ke Kelantan.

Menjelang 2027 Kementerian Pengangkutan menganggarkan panjang laluan rel di Malaysia akan mencecah 3,000 km hasil kejayaan pelaksanaan projek ECRL, Transit Aliran Massa (MRT) dan HSR Kuala Lumpur-Singapura.

Anda boleh lihat kesemua projek rel tersebut akan memendekkan waktu perjalanan sejajar dengan perkhidmatan pengangkutan awam di negara maju yang sudah tentu rak­yatnya berpendapatan tinggi.

Oleh itu, kerajaan perlu melakukan sesuatu supaya Ke­retapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) selaku pengendali KTM Komuter menjadi lebih cekap dengan memendekkan waktu perjalanan supaya jaringan pengangkutan awam menjadi pilihan utama rakyat.

Tidak dinafikan bahawa KTMB telah melakukan yang terbaik dengan menambah ke­kerapan perjalanan pada waktu puncak dan menyediakan koc wanita yang seringkali kelihatan kaum lelaki di dalamnya untuk menjadi pilihan warga kota.

Cuma, dalam keadaan sekarang KTMB perlu lebih pantas supaya ia tidak ketinggalan zaman dan memberi imej yang baik untuk nama Melayu pada syarikat itu. Sehingga kini, tidak banyak syarikat di Malaysia yang mengekalkan nama Melayu.

Sumber masa perjalanan daripada Google Map