Pengarah Eksekutif Orifix, Dr. Badrul Akmal Hisham Md. Yusoff berkata, sejak produk berasaskan air dan tanpa alkohol yang dikenali sebagai Waazu itu dilancarkan kira-kira tiga bulan lalu, produk berkenaan telah menerima permintaan yang sangat menggalakkan terutamanya daripada masyarakat Islam.

Beliau berkata, pihaknya menjangkakan permintaan untuk Waazu boleh mencecah sehingga 500,000 botol sebulan selepas produk itu mula dipasarkan ke rangkaian farmasi dan pasaraya besar di seluruh negara penghujung tahun ini.

“Kami sedang menjalinkan kerjasama dengan syarikat pe­nerbangan tambang murah, Air­Asia dengan menjadikan Waazu sebagai salah satu cenderamata manakala Petronas Dagangan Berhad akan memasarkan produk ini di semua kedai Mesra di seluruh negara.

“Selain itu, sasaran jualan itu juga akan dicapai melalui pertambahan ejen jualan Wazzu yang kini berjumlah 60 orang pada masa akan datang,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas majlis pelancaran sambutan Hari Basuh Tangan Sedunia di Kolej Universiti Sains Perubatan Cyberjaya (CUCMS) di sini semalam.

Terdahulu, Angkasawan Ne­­gara, Datuk Dr. Sheikh Mus­zaphar Shukor yang juga merupakan duta dan ikon produk Waazu telah menyampaikan ceramah mengenai kepentingan mengenai membasuh tangan kepada lebih 200 kanak-kanak di sini.

Menurut Dr. Badrul Akmal Hisham, Waazu merupakan produk pembasmi kuman pertama di Malaysia yang berasaskan air dan mendapat kelulusan halal dari Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) serta mendapat pengiktirafan dan kelulusan daripada Pentadbiran Makanan dan Dadah, Amerika Syarikat.

Katanya, selain selamat untuk digunakan oleh semua peringkat umur, produk terbabit turut boleh membantu bayi terhindar daripada jangkitan kuman.

“Ibu bapa boleh menggunakan Waazu untuk mencuci mainan anak-anak dan mencegah ruam lampin terutamanya pada kulit bayi yang ternyata sensitif terhadap bahan kimia dan sebagainya.

“Waazu telah diuji di makmal antarabangsa di dalam dan luar negara yang mana didapati ia mempunyai kemampuan membunuh sehingga 99.99 peratus pelbagai jenis virus antaranya enterovirus 68, virus avian influenza A H1N1, virus influenza B, rhinovirus jenis 39, bakteria dan kulat serta spora,” katanya.

Dalam pada itu, Dr. Badrul Akmal Hisham berkata, orang ramai yang berminat untuk mendapatkan produk tersebut boleh melayari laman web rasminya, http:waazu.my atau facebok/waazu.