Menurut sumber yang tahu dengan perkara tersebut, pembuat kereta Jerman dan Amerika Syarikat (AS) itu dijangka memberikan maklumat tentang kemajuan perbincangan tersebut sebelum akhir tahun.

“Memorandum persefahaman kami dengan VW me­rang­kumi perbincangan mengenai potensi kerjasama di beberapa kawasan. Masih terlalu awal untuk berkongsi maklumat tambahan pada masa ini,” kata Jurucakap Ford, Alan Hall dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Syarikat pembuat kende­raan di seluruh dunia kini sedang membincangkan untuk bekerjasama dan berkongsi kos pembangunan kenderaan tanpa pemandu dan elektrik. Perkongsian teknologi kenderaan tanpa pemandu berbeza mengikut rantau.

Bulan lalu Honda Motor Co. mengumumkan pelaburan AS$2.75 bilion (RM11.50 bi­lion) dan memiliki kepentingan dalam unit kenderaan tanpa pemandu General Motors Co., Cruise Automation bagi bersama-sama membangunkan mo­del kenderaan tersebut untuk digunakan oleh syarikat per­khidmatan kenderaan global.

VW dan Ford berada di bawah tekanan untuk melancarkan lebih banyak kenderaan elektrik di Eropah, yang mana peraturan pelepasan sedang diperketatkan berikutan skandal pencemaran diesel Volkswagen.

Ketua Pegawai Kewangan Volkswagen, Frank Witter pada Selasa berkata, pembuat kereta itu terbuka kepada pakatan yang lebih serius dengan syarikat luar, terutamanya dalam bidang pemanduan automatik.

Witter berkata, perkongsian platform kereta elektrik MEB de­ngan Ford secara teorinya adalah mungkin, walaupun VW sedang menumpukan pada teknologi kenderaan elektrik dalam kala­ngan jenamanya sendiri.

Para pegawai VW telah berulang kali menegaskan bahawa satu-satunya cara untuk membuat kereta elektrik sebagai produk pasaran massa adalah melalui skala ekonomi untuk menjadikannya murah atau le­bih murah daripada kenderaan diesel.

VW Group melabur 34 bi­lion euro (RM161 bilion) bagi e-mobiliti dan teknologi tanpa pemandu menjelang 2022 serta merancang untuk membuat dua juta hingga tiga juta kereta elek­trik sepenuhnya pada 2025. – REUTERS