Pengarah Urusan Volvo Car Malaysia, Lennart Stegland ber­kata, S90 T8 Twin Engine yang dihasilkan di kilang Volvo Cars Shah Alam akan dilengkapi kedua-dua reka bentuk V90 dan S90 T6 R-Design serta pengenalan tahap Inscription iaitu tahap paling mewah di Malaysia kepada model S90.

Katanya, tumpuan unik Volvo kepada tren kuasa hibrid akan menyaksikan kenderaan berkenaan menghasilkan kuasa, pengendalian dan kecekapan terbaik tanpa perlu ‘mengorbankan’ ciri-ciri sebuah kenderaan sedan premium.

“Pendekatan kami dengan Kenderaan Elektrik Hibrid Dipasang (PHEVs) adalah sangat berbeza dengan apa yang tersedia di pasaran ketika ini, meletakkan bateri hibrid membolehkan peningkatan pengendalian selain tidak menjejaskan ruangan kargo.

“S90 T8 Twin Engine Inscription ini merupakan ekspresi kami terhadap kemewahan, prestasi dan teknologi berkelas tinggi serta hadir dengan harga kompetitif, sememangnya kenderaan ini adalah tawaran terbaik bagi segmen DE premium di Malaysia,” kata­nya dalam kenyataan di sini baru-baru ini.

T8 enjin berkembar dikuasakan dengan 407 kuasa kuda (hp) dan daya kilas 640Nm dikawal oleh transmisi 8-kelajuan auto­matik yang menghasilkan kelajuan daripada 0 ke 100 kilometer sejam (km/j) hanya 4.8 saat.

Spesifikasi penuh kenderaan ini hanya akan dikeluarkan semasa pelancaran rasmi S90 T8 Twin Engine Inscription tidak lama lagi.

Kenderaan berkenaan juga akan mengikut jejak langkah kenderaan XC90 T8 Twin Engine yang bakal dieksport ke pasaran terpi­lih dalam rantau ini.