KUALA LUMPUR 26 Mac – Vivo menyasarkan untuk menjadi antara tiga jenama telefon pintar terbaik di Malaysia pada 2018 berbanding kedudukan keempat ketika ini.
Pengurus Jenama Vivo Technologies Sdn. Bhd. (Vivo Malaysia), Simeon Sia berkata, sasaran tersebut akan dipacu oleh penjualan model terbaharunya iaitu V9.
Jelas beliau, selain V9 terdapat beberapa lagi pelancaran model baharu pada tahun ini untuk pasaran tempatan.
“Kami menjangkakan sebanyak 20,000 unit V9 berjaya dijual dalam tempoh sebulan selepas pelancarannya. Model ini sesuai untuk golongan muda yang berumur antara 18 hingga 35 tahun terutama yang gemar berswafoto.
“V9 merupakan model terbaik kami dan harga jualannya adalah RM1,399. Orang ramai boleh mendapatkan V9 di pasaran bermula 31 Mac ini,” katanya kepada pemberita selepas pelancaran Vivo V9 di sini hari ini.
Yang turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif Vivo Malaysia, Mike Xu.
Dalam pada itu, Xu berkata, V9 menampilkan pelbagai ciri baharu dan hadir dengan paparan skrin penuh sehingga 90 peratus daripada kerangkanya.
Menurutnya, V9 mempunyai saiz seperti telefon pintar 5.5 inci, namun dengan paparan skrin penuh menjadikan skrinnya sebesar 6.3 inci.
“Model ini hadir dengan kamera hadapan sebesar 24 megapiksel (MP) dan mempunyai dwikamera di bahagian belakang, masing-masing sebesar 16 MP dan 5 MP. Ia juga menggunakan pemprosesan Qualcomm Snapdragon 626 Octa-core yang membantu dalam melancarkan operasi penggunaanya.
“Memori dalamannya pula sebesar 64 gigabit (GB) dan mampu menyokong memori tambahan sehingga 256 GB. V9 hadir dalam tiga warna iaitu pearl, hitam dan emas,” kata beliau.