Dalam tiga suku pertama 2017 ujarnya, trafik penumpang antarabangsa VistaJet dari Malaysia meningkat 45 peratus tahun ke tahun manakala ketibaan penumpang antarabangsa naik 18 peratus.

“Jumlah penerbangan antarabangsa VistaJet yang berlepas dari Malaysia meningkat 12 peratus tahun ke tahun manakala jumlah penerbangan yang tiba di Malaysia tumbuh 10 peratus,” katanya pada taklimat media di sini hari ini.

Malaysia adalah antara tiga pasaran teratas di rantau Asia dan jet persendirian jenama mewah itu menjangka permintaan untuk perkhidmatan di Malaysia dan Asia Tenggara akan terus meningkat.
Moore berkata, Malaysia berada di lokasi yang sesuai untuk penerbangan perniagaan kerana syarikat multinasional mendapat manfaat daripada kecekapan dan kemudahan penerbangan perniagaan.

“Lapangan Terbang Subang adalah antara beberapa lapangan terbang di Asia Tenggara yang dikhususkan untuk penerbangan perniagaan,” tambahnya.

Lima destinasi teratas pe­lepasan dari Malaysia, katanya, ialah Singapura, Hong Kong, Macau, Jakarta dan Phuket manakala lima destinasi teratas ketibaan di Malaysia ialah dari Singapura, Hong Kong, Maldives, Phuket dan Hanoi.

Sejak memasuki Malaysia pada 2008, VistaJet telah mengalami pertumbuhan amat pesat, di mana 22 peratus daripada pe­langgannya adalah dari Malaysia, katanya.

VistaJet menerbangkan pe­lang­gan setiap masa dan semua tempat di dunia dengan notis 24 hingga 48 jam.

Dengan sebanyak 72 pesawat, infrastruktur global VistaJet bernilai lebih AS$2.5 bi­lion. – BERNAMA