NEELOFA

Sesi Up Close & Personal bersama pelakon itu yang dikenali sebagai Neelofa dikendalikan Ketua Pegawai Eksekutif Institut Keusahawanan Negara (Ins­ken), Muhd. Firdaus Azharuddin di hadapan lebih 800 peserta terdiri dalam kalangan usahawan di negara ini.

Ditanya kedudukan jenama itu dalam tempoh 10 tahun lagi, ikon fesyen itu mahu melihat Naelofar Hijab menjadi antara 10 jenama tudung popular di peringkat global sama seperti jenama-jenama beg tangan atau kasut antarabangsa.

“Kini, jenama ini sudah berada di 38 buah negara dan kami mempunyai antara 500 hingga 700 stokis. Selepas empat tahun membina perniagaan ini, saya melihat pasaran agak statik dan memerlukan kami melaksanakan proses penstrukturan semula syarikat milik keluarga ini.

“Jadi, sejak beberapa bulan lalu saya mula berbincang de­ngan beberapa individu di seluruh dunia untuk membawa mereka menyertai pasukan Naelofar Hijab. Kami sedang meninjau untuk membawa mereka yang berpengalaman terutama dalam e-dagang dan peruncitan antaranya dari Dubai dan United Kingdom sebagai sebahagian daripada transformasi syarikat.

“Saya melihat 2019 akan membawa satu titik perubahan kepada Naelofar Hijab dan saya tidak sabar untuk bekerjasama dengan mereka,” katanya yang menerima pengiktirafan Forbes 30 Under 30 Asia 2017 dalam sesi tersebut di sini hari ini.

Naelofar Hijab dilancarkan pada 2014 dan dalam tempoh setahun berada dalam dunia fesyen tanah air, syarikat mencatat jualan sebanyak RM50 juta. Pada masa ini, jenama tersebut turut dijual secara konsesi dalam pasaran premium daerah Chelsea di tengah-tengah kota London.

Menurut Neelofa, bukan satu perkara yang mudah melaksa­na­kan pembaharuan itu kerana di peringkat awal, beliau perlu meyakinkan ayah dan kakaknya serta dalam masa sama perlu mencari calon yang benar-benar layak dan boleh membawa perubahan kepada syarikat.

“Dalam membina perniagaan, adalah penting untuk mempunyai pasukan yang hebat dan barulah ia boleh bergerak ke hadapan. Ini membolehkan kami memperkukuhkan lagi platform digital dan runcit, serta berubah daripada cawangan stokis kepada e-dagang,” katanya.

Sementara itu, Muhd. Firdaus berkata, jualan dalam talian adalah platform terbaik untuk berkembang di peringkat glo­bal dan ia perlu direbut oleh usahawan gene­rasi baharu.

Katanya, usahawan tidak boleh lagi bersikap sambil lewa atau berlengah-lengah misalnya dalam isu pembungkusan kerana apabila memasuki pasaran antarabangsa, mereka harus berpera­nan sebagai pemain global.

“Memang mudah, kita ha­nya letakkan barang untuk dijual dalam talian tetapi banyak perkara perlu diteliti, terutama membuat kajian pasaran apa yang diperlukan oleh pengguna dan ia harus bergerak secara berterusan dari semasa ke semasa,” katanya.