VINCENT TAN CHEE YIOUN

Beliau mengambil alih jawatan itu daripada anaknya, Datuk Seri Robin Tan Yeong Ching, 43, yang meneruskan peranannya sebagai ketua pegawai eksekutif (CEO) syarikat.

Tan, 65, melepaskan jawatan itu lima tahun lalu, atas alasan mahu menumpukan kepada kerja-kerja kebajikannya.

Dalam kenyataan hari ini, BCorp berkata, sepanjang tempoh tersebut, Robin Tan telah me­laksanakan pelbagai program kebajikan dan sosial serta inisiatif tetapi pada masa yang sama, beliau terus meneroka peluang-peluang perniagaan baharu untuk syarikat de­ngan peranannya sebagai peng­asas dan penasihat.

Robin Tan, dalam perutusannya kepada Lembaga Pengarah BCorp berkata, “sebagaimana anda semua tahu, walaupun semasa persaraan, saya sentiasa aktif mencari peluang perniagaan baharu untuk syarikat.

“Datuk Seri Robin telah me­laksanakan tugas cemerlang sebagai pengerusi dan CEO. Beliau telah mengukuhkan organisasi korporat dan amalan terbaik, dan syarikat telah menikmati pertumbuhan dan kemajuan yang bagus semasa diterajuinya,’’ ujar beliau.

“Bagaimanapun, saya rasa selepas berjauhan selama lima tahun, tibalah masanya kini untuk saya kembali ke dalam Lembaga Pengarah untuk terlibat secara aktif di dalam membuat keputusan di peringkat lembaga pengarah bagi mempamerkan komitmen dan kewibawaan saya kepada para pemegang saham kita,” tambah beliau.

Robin Tan, yang mewakili ahli-ahli lembaga pengarah berkata, sebagai pemegang saham utama BCorp, memang bertepatan untuk Vincent Tan mengambil semula kedudukannya sebagai pengerusi syarikat.

“Tan Sri memulakan perniagaan pada 1972 pada usia awal 20-an sebagai pengedar kereta dan peralatan pembinaan dan pada masa yang sama, bekerja sebagai ejen jualan insurans hayat.

“Dengan pengalaman ke­usa­hawanan Tan Sri lebih empat dekad dan dedikasi serta komitmen teguhnya terhadap syarikat, kami tidak ragu-ragu bahawa beliau akan membawa kumpulan syarikat BCorp ke tahap yang lebih cemerlang,’’ kata Robin.

Saham BCorp ditutup 0.5 sen rendah atau 1.49% pada 33 sen hari ini, dengan 8.6 juta saham didagangkan, membawa modal pasaran sebanyak RM1.61 bi­lion.