Pengarah Urusan Kumpulan TH Properties, Datuk Roszali Othman berkata, pihaknya sentiasa mencari peluang memperluaskan perniagaan syarikat ke lokasi baharu namun sebagai pengendali projek pembangunan yang diberi tanggungjawab oleh Tabung Haji, langkah itu akan dilaksanakan dengan berhati-hati.

“TH Properties ada perancangan untuk memperluaskan perniagaan selain di Australia kerana kita juga mahu mencari peluang untuk bergerak ke negara lain.

“Bagaimanapun kita ketika ini selesa dengan rakan kongsi di Sydney dan jika sesuai, kita juga mahu mencari peluang sama ada di London dan Jakarta yang mempunyai ramai penduduk,” katanya selepas menghadiri majlis Anugerah Hartanah Antarabangsa 2017-2018 yang menyaksikan TH Properties merangkul dua anugerah terbaik peringkat Asia Pasifik dan Antarabangsa kategori Rekaan dan Pembinaan Hotel Baharu di Hotel The Savoy di sini malam tadi.

Menurut Roszali, TH Properties kini mempunyai enam projek kediaman di Sydney dan berbangga dengan perkembangan kemajuan pasaran di negara tersebut.

Pada masa yang sama beliau berkata, pihaknya akan terus memfokuskan kepa­da pembangunan kediaman yang dapat memberi tumpuan terhadap pembangunan berasaskan pelaksanaan syariah sepenuhnya, berbanding projek-projek pembinaan bersifat komersial.

Sementara itu, dua anugerah diterima TH Properties itu adalah menerusi pembinaan projek Pusat Konvensyen dan Hotel TH di Kuching, Sarawak yang mengetengahkan konsep ‘Pua Kumbu’ selain mengekalkan ciri-ciri kebudayaan dan keindahan alam semula jadi pada reka bentuk binaannya.

Beliau berkata, anugerah itu merupakan pengiktirafan ter­tinggi yang telah diterima syarikat setakat ini dan menjadi asas penting dalam kemajuan yang telah dibuat serta meletakkannya setaraf dengan pemaju lain di seluruh dunia.

Pada majlis itu, Roszali mewakili TH Properties menerima kedua-dua anugerah berkenaan yang disampaikan oleh Earl of Liverpool, Edward Foljambe dan Presi­den International Property Awards, Stuart Shield.

Yang turut hadir, Pengarah TH Proper­ties, Datuk Mohd. Fazillah Mohd. Ali; Ketua Pegawai Operasi Tabung Haji, Datuk Adi Azuan Abdul Ghani dan Ketua Pegawai Pelaburan Tabung Haji, Abd. Kadir Sahlan.

Anugerah Hartanah Antarabangsa 2017-2018 menerima lebih 1,000 penyertaan daripada 300 syarikat di seluruh dunia mengikut pelbagai kategori dan pemilihan pemenang ditentukan oleh barisan hakim antarabangsa dan pakar hartanah yang berpengalaman dalam industri tersebut. – utusan

Pada Mei lalu, TH Properties merangkul tiga anugerah pada Majlis Penganugerahan Hartanah Asia Pasifik 2017-2018 yang diadakan di Bangkok, Thailand. - UTUSAN