Promosi itu diadakan sempena ulang tahun Syarikat Jual dan Servis Sharp Malaysia (Sharp Malaysia) yang ke-33 sejak penubuhannya di negara ini pada 1985.

Pengarah Urusan Sharp Malaysia, Tadashi Ohyama berkata, tujuan promosi itu diadakan adalah bagi meraikan rakyat negara ini yang merupakan pelanggan setia Sharp di rantau ASEAN serta tidak menyasarkan sebarang keuntungan daripada kempen promosi tersebut.

“Kami menawarkan potongan harga itu selama 33 hari di kesemua cawangan barangan elektronik jenama Sharp yang terpilih.

“Dalam pada itu, Sharp juga akan menganjurkan siri pertunjukan jalanan sepanjang kempen ini diadakan untuk mempromosikan lagi tawaran yang diberikan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap dalam sidang akhbar Pelancaran Kempen Ulangtahun ke-33 Sharp Malaysia di Hotel Garden, dekat sini hari ini.

Dalam perkembangan lain, Ohyama berkata, operasi syarikat Sharp Malaysia akan disatukan sepenuhnya dengan Sharp Electronic Malaysia Sdn. Bhd. (SEM) bermula pada 1 April hadapan.

Jelasnya lagi, perkara itu sekali gus menyaksikan operasi penjualan dan servis barangan Sharp di Malaysia akan dikendalikan oleh SEM sepenuhnya dan proses penstrukturan semula dalaman syarikat telah dijalankan beberapa bulan yang lalu.

“Lokasi Malaysia yang strategik di rantau Asean ini dan tahap ekonomi yang mantap adalah faktor penting yang menyumbang kepada pertumbuhan jenama ini.

“Keputusan ini tidak bermakna syarikat Sharp Malaysia semakin mengecil, malah ia sebenarnya adalah untuk mewujudkan sistem syarikat yang tertumpu kepada satu syarikat pengoperasian di setiap negara,” katanya.

Tambah beliau, perkara itu juga akan meningkatkan lagi operasi penjualan jenama Sharp dengan lebih teratur serta berkesan. - UTUSAN ONLINE