Video oleh ZABRY MOHAMAD MADZLAN & SHAHREN ROSLI

Sebaik sahaja keluar dari Kompleks Hong Leong Yamaha di Sungai Buloh, Selangor, hujan turun dengan lebatnya.

Namun, sengaja penulis tidak berteduh kerana mahu menguji skuter berkapasiti 155 cc ini di atas jalan basah.

Ternyata dengan tayar depan bersaiz 110/80 serta belakang 140/70, ditambah fork berdiameter 26 milimeter (mm), jentera ini menyusuri laluan digenangi air dengan lancar.

Adanya sistem brek antikekunci (ABS) menambahkan lagi keyakinan penulis untuk berdepan apa juga situasi cemas terutama kenderaan yang menukar lorong secara tiba-tiba.

Bukan itu sahaja, semasa ‘melayan’ selekoh-selekoh pendek dan tajam di ‘Litar Lumba Antarabangsa Kuala Klawang’, saiz tayar yang lebih besar dibantu ABS turut menjadikan jentera ini stabil dan meyakinkan.

Lebih menyeronokkan, kalau mengiring ke kiri lebih sedikit, double stand boleh mencecah jalan!

Keadaan sama tidak mungkin boleh didapati pada skuter-sku­ter lain yang kebiasaannya kurang ‘umph’ ketika di selekoh.

Penulis juga berkesempatan menunggang NVX 155 sehingga 115 kilometer sejam (km/j) dan ternyata ia tidak ‘goyang’.

Meskipun daya kilas jentera ini agak rendah, namun ketika berdepan situasi yang memerlukan penulis membuat keputusan sama ada mahu memotong deretan kenderaan atau sebaliknya, pilihan yang dibuat sering tidak menghampakan.

Jentera ini mampu melepasi dengan selamat, walaupun dari arah bertentangan ada kenderaan lain sedang mara agak laju.

Dari segi penampilan, tidak dinafikan NVX 155 sentiasa mendapat perhatian ramai hampir di mana-mana sahaja kerana bentuknya yang sporty.

Pantang sahaja berhenti, pasti ramai yang merapat.

Daripada aspek inovasi pula, ba­nyak ‘kejutan’ yang ditampilkan dan mungkin berbaloi buat mereka yang sebelum ini tertunggu-tunggu kehadirannya da­lam pasaran tempatan.

Paling istimewa, tidak memerlukan kunci untuk menghidupkan enjin, cukup sekadar simpan immobilizer dalam poket, putar punat on seterusnya tekan suis penghidup.

Begitu juga jika sudah sampai di lokasi, putar ke mod off dan enjin pun dimatikan.

Selepas enjin dimatikan, bunyi ‘bip’ akan kedengaran sekiranya kita terlupa menukar ke mod off atau lock.

Sistem sama juga boleh me­ngesan motosikal jika terlupa lokasi parkir, juga dengan bunyi bip atau nyalaan lampu, ikut pilihan kita sendiri.

Ketika berhenti di lampu isyarat merah, enjin akan mati secara automatik.

Pada mulanya penulis agak panik tetapi kembali lega apabila enjin hidup semula selepas pendikit dipulas.

Sistem stop & start ini dapat membantu menjimatkan penggunaan bahan api.

Tidak kurang menariknya, terdapat ruang simpanan mini yang ada soket untuk mengecas te­lefon bimbit.

Selain itu, ruang simpanan berkeluasan 25 liter di bawah tempat duduk boleh mengisi topi keledar, baju hujan, jaket dan barangan peribadi lain.

Andai penulis berkira-kira mahu memiliki skuter untuk ke­gunaan harian, pastinya NVX 155 dalam senarai pilihan.